Persekitaran operasi mencabar, untung bersih VS Industry bagi Q1 susut 30% | DagangNews Skip to main content

Persekitaran operasi mencabar, untung bersih VS Industry bagi Q1 susut 30%

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 25 Mac - VS Industry Bhd. mencatat untung bersih yang lebih rendah bagi suku kedua berakhir 31 Januari 2022 sebanyak RM44.5 juta, susut 30.3% daripada RM63.8 juta bagi tempoh sama tahun kewangan 2021. 

 

Penurunan ini terutamanya disebabkan cabaran yang dihadapi kumpulan bagi operasinya di Malaysia dan China, menurutnya dalam kenyataan hari ini.

 

Bagaimanapun, pendapatan bagi suku semasa meningkat 1.5% kepada RM1.01 bilion daripada RM999.3 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Bagi tempoh 6 bulan berakhir 31 Januari 2022, pendapatan susut 0.2% kepada RM1.98 bilion manakala untung bersih berjumlah RM83.9 juta daripada RM130.5 juta.

 

Pelbagai faktor telah mempengaruhi operasi di Malaysia, antaranya termasuklah kenaikan harga bahan mentah dan kos buruh serta rosot nilai yang lebih tinggi daripada kemudahan baharu manakala pengeluaran besar-besaran untuk pelanggan utama baharu masih belum mencapai tahap optimum.

 

Faktor berkenaan dan juga masalah kekurangan tenaga kerja serta gangguan rantaian bekalan terutama komponen, akhirnya mengakibatkan kecekapan operasi yang lebih rendah.

 

Di China, landskap operasi yang sukar dengan segmen itu terus mengalami kerugian kerana asas hasil lebih rendah tidak mencukupi untuk menampung kos tetap.

 

Pengarah Urusan VS Industry, Datuk SY Gan berkata, di sebalik persekitaran operasi mencabar terutama dengan mengambil kira situasi pandemik COVID-19 dan ketidaktentuan geopolitik, keseluruhan permintaan masih kekal kukuh beberapa suku akan datang. 

 

Katanya, pengeluaran besar-besaran bagi pelanggan utama baharu dijangka meningkat apabila masalah kekurangan buruh dapat diatasi.

 

"Ketika ini, usaha sedang dilaksanakan untuk mengambil pekerja tempatan ekoran sekatan pengambilan pekerja asing sejak 2020. 

 

"Oleh itu, kami berharap masalah buruh ini dapat diselesaikan secara berperingkat sejajar dengan pembukaan semula ekonomi negara," katanya. - DagangNews.com