Persidangan sawit POC 2020 dianjurkan secara maya minggu hadapan | DagangNews Skip to main content

Persidangan sawit POC 2020 dianjurkan secara maya minggu hadapan

Persidangan dan Pameran Tinjauan Harga Minyak Sawit dan Minyak Laurik ke-31 (POC 2020)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 23 Okt. - Persidangan dan Pameran Tinjauan Harga Minyak Sawit dan Minyak Laurik ke-31 (POC 2020) yang menjadi acara paling dinanti-nantikan bakal dianjurkan secara dalam talian pada 27 hingga 28 Oktober 2020.

Bursa Malaysia dalam satu kenyataan berkata, langkah itu susulan perkembangan semasa peningkatan wabak COVID-19.

"Ini adalah kali pertama POC dianjurkan secara maya sepanjang 31 tahun penganjuran.

"Ia akan berlangsung pada 27 hingga 28 Oktober 2020 dengan penyertaaan oleh pakar-pakar dalam industri," jelas Bursa Malaysia.

POC 2020 yang dianjurkan oleh Bursa Malaysia Derivatives (BMD) itu menampilkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali yang akan menyampaikan amanat khas untuk POC 2020.

Sementara itu, Pengerusi BMD dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, persidangan itu juga akan berbincang berkaitan dengan cabaran industri minyak sawit akibat COVID-19.

 

Muhamad Umar Swift
Muhamad Umar Swift

 

"POC adalah salah satu acara tinjauan harga minyak sawit global terbesar dan paling diraikan.

"Ia memudahkan proses pertukaran idea dan membolehkan peserta berkongsi penilaian yang akan mempengaruhi tinjauan harga di pasaran sawit dan minyak laurik," jelasnya.

Meskipun perancangan penganjuran POC 2020 pada sebelumnya dibatalkan, pihaknya tetap komited untuk memberikan yang terbaik melalui platform digital.

POC 2020 akan menampilkan barisan panel yang mempunyai reputasi tinggi dalam enam pembentangan persidangan dan dua panel yang akan memfokuskan kepada tajuk hangat termasuk kesan COVID-19 terhadap ekonomi global dan kelestarian jangka panjang industri minyak sawit.

Penal yang ditampilkan termasuk Pengarah Urusan dan Ketua Asia Pasifik Kumpulan CME, Christopher Fix dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia, Datuk Dr. Kalyana Sundram. - DagangNews.com