Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 19 Mac. - Bursa Malaysia Derivatives dijangka akan menganjurkan Persidangan dan Pameran Tinjauan Harga Minyak Sawit dan Minyak Laurik ke-32 (Virtual POC 2021) pada 23 hingga 24 Mac 2021.
Persidangan tersebut secara tidak langsung menjadi penganjuran kali kedua yang dijalankan secara format maya sepenuhnya.
Pengerusi Bursa Malaysia Derivatives Berhad dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, meskipun masih dalam tempoh ketidakpastian dan cabaran akibat wabak, pihaknya bersyukur dengan kelebihan teknologi yang mampu menghubungkan persidangan tersebut.
"Kami mendapat sokongan yang padu dalam Virtual POC 2020 yang menarik hampir 1,700 peserta dari 55 buah negara.
"Ini menunjukkan pengiktirafan industri terhadap cadangan nilai POC yang kukuh sebagai platform perkongsian maklumat dan pemadanan perniagaan yang utama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terkenal sebagai perhimpunan tahunan dalam kalangan pembuat keputusan dan pemimpin dalam industri minyak boleh dimakan global, persidangan itu bakal menyediakan peluang kepada para perwakilan untuk bertukar idea dan memperoleh pengetahuan secara langsung mengenai peluang dan isu penting berkaitan sawit dan pasaran minyak laurik pada 2021/2022.
"Kami percaya adalah penting bagi pemain industri untuk terus mengikuti perkembangan semasa serta pandagan pasaran bagi mengatasi ketidakpastian pada masa yang tidak menentu.
"Oleh itu kami kekal komited untuk menjadikan POC sebagai nilai yang unik untuk rujukan industri bagi prospek harga minyak sawit dan laurik melalui pendekatan digital," tambah beliau.
Virtual POC 2021 bakal menampilkan barisan panel yang terkenal dalam sektor minyak boleh dimakan termasuk Pengarah Eksekutif ISTA Mielke GmBH - Oil World, Thomas Mielke dan Pengarah Godrej International Ltd., Dorab Mistry.
Persidangan yang dijalankan secara maya itu turut menampilkan sebelas pembentangan dan dua sesi panel merangkumi tajuk berkaitan penawaran global, permintaan dan prospek harga minyak sawit, minyak laurik serta minyak utama lain. - DagangNews.com