Pertambahan kehadiran pesakit tingkatkan kadar penggunaan dalam sektor penjagaan kesihatan - RHB Research | DagangNews Skip to main content

Pertambahan kehadiran pesakit tingkatkan kadar penggunaan dalam sektor penjagaan kesihatan - RHB Research

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Sept - Peningkatan kehadiran pesakit tempatan dan asing untuk mendapatkan rawatan perubatan akan memacu kadar penggunaan menjadi lebih baik untuk sektor penjagaan kesihatan bermula 3QFY22 dan seterusnya.

 

RHB Research berkata, sektor penjagaan kesihatan menyaksikan peningkatan kehadiran pesakit yang menggalakkan manakala pemain industri bersedia untuk memanfaatkan pertambahan pesakit antarabangsa selepas pembukaan semula sempadan antarabangsa pada April 2022.

 

Firma itu berkata, IHH Healthcare Berhad dan KPJ Healthcare Berhad mencatatkan pemulihan positif dalam operasi mereka.

 

"Pembukaan semula sempadan antarabangsa pada April 2022 menyaksikan operasi IHH di Malaysia dan Singapura mencatatkan peningkatan sebanyak 17% dan 1.5% dalam jumlah pelancong perubatan," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Firma itu berkata, IHH Healthcare seharusnya lebih baik dari segi pelancongan perubatan kerana memiliki kemudahan yang canggih dan kehadiran geografi yang strategik dalam memenuhi keperluan pesakit.

 

Ia selaras dengan jangkaan firma untuk memanfaatkan rangkaian hospitalnya di rantau ini selain memenuhi permintaan ramai.

 

"Bagi Duopharma Biotech Berhad (DBB), segmen penjagaan kesihatan pengguna (CHC) menghasilkan jualan melebihi jangkaan bagi Julai dan Ogos 2022.

 

"Kami menjangkakan pendapatan mereka akan menjadi lebih baik bermula FY23 didorong kekutan jenamanya di pasaran selain peningkatan permintaan untuk produk penjagaan kesihatan serta makanan tambahan," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'overweight' untuk sektor itu. 

 

Pada masa sama, firma itu akan berhadapan beberapa risiko termasuk penutupan semula sempadan antarabangsa, kehadiran pesakit lebih rendah daripada jangkaan selain mekanisme harga ubat yang tidak menguntungkan daripada Kementerian Kesihatan. - DagangNews.com