Pertimbang semula strategi kewangan bantu hadapi cabaran pandemik - HSBC Malaysia | DagangNews Skip to main content

Pertimbang semula strategi kewangan bantu hadapi cabaran pandemik - HSBC Malaysia

Ketua Kekayaan dan Perbankan Peribadi HSBC Malaysia, Renee Bullock-Cann

 

 


KUALA LUMPUR 9 Ogos - Di sebalik kenaikan kes COVID-19 dan langkah-langkah sekatan pergerakan yang memberikan tekanan kepada perniagaan dan isi rumah, masih terdapat beberapa strategi yang dapat membantu rakyat menangani cabaran kewangan.

 

Ketua Kekayaan dan Perbankan Peribadi HSBC Malaysia, Renee Bullock-Cann berkata, strategi kewangan seperti penghapusan hutang, pelaburan yang stabil dan aliran tunai memerlukan pertimbangan semula terutama dalam keadaan mencabar ini.

 

Selain itu, katanya, ia juga termasuk menggabungkan baki hutang menjadi satu alternatif dengan faedah rendah, memberi keutamaan dan membuat penilaian mengenai situasi hutang serta berbincang dengan bank masing-masing.

 

“Menggunakan beberapa strategi utama ini dapat membantu mereka menguruskan hutang dengan lebih yakin  dan meningkatkan daya tahan kewangan mereka dalam keadaan lebih baik apabila ekonomi pulih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Beliau juga berkata, peminjam yang mempunyai hutang dengan faedah tinggi mungkin dapat menggabungkan baki mereka menjadi satu alternatif dengan faedah rendah dengan memilih program pemindahan baki yang ditawarkan oleh kebanyakan bank.

 

“Jika anda mempunyai hartanah yang tiada halangan untuk menggunakannya atau nisbah pinjaman kepada nilai rendah, pertimbangkan untuk memohon pinjaman ekuiti rumah.

 

“Ini akan membolehkan anda mengeluarkan tunai daripada hartanah sedia ada untuk mengurangkan tekanan sementara ke atas aliran tunai anda,” katanya.

 

Apa yang lebih penting, menurut Bullock-Cann, pelbagai bank mempunyai program untuk membantu pelanggan mereka mendapat kebebasan kecairan dalam tempoh jangka pendek.

 

"Dalam hal ini, HSBC Malaysia memiliki program bantuan kewangan untuk membantu pelanggan sedia ada sejajar dengan kemudahan yang diberikan di bawah Pemulih. 

 

"Dengan adanya bantuan ini, pelanggan boleh memilih penangguhan 6 bulan atau 50% pengurangan dalam bayaran bulanan bagi tempoh 6 bulan bagi membantu mengurangkan beban kewangan akibat COVID-19," tambahnya. - DagangNews.com