Pertimbangan ESG: Pelabur akan jadikannya pertimbangan utama dalam menilai IPO | DagangNews Skip to main content

Pertimbangan ESG: Pelabur akan jadikannya pertimbangan utama dalam menilai IPO

Oleh Dr. Norliza Che Yahya

ADAKAH pertimbangan penjagaan alam sekitar, sosial dan tadbir urus atau Environmental, Social and Governance (ESG) menjadi keutamaan pelabur Tawaran Awam Permulaan (IPO)?

 

ESG ialah akronim bagi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Korporat. ESG mengambil pandangan holistik bahawa kemampanan perniagaan haruslah melangkaui pertimbangan penjagaan alam sekitar.

 

Dalam istilah lain, ESG dicirikan sebagai rangka kerja terbaik yang berpontensi membantu pelabur memahami pendekatan sesebuah organisasi dalam mengurus risiko dan melindungi generasi akan datang dengan menilai aspek persekitaran, sosial dan tadbir urus perniagaan.

 

IPO pula merujuk pada proses di mana syarikat milik persendirian menawarkan sahamnya kepada pelabur awam buat kali pertama di pasaran saham.


 

Dr. Norliza Che Yahya
       Dr. Norliza Che Yahya

 


Ketika ini, pertimbangan ESG semakin mempengaruhi keutamaan pelabur termasuk di pasaran IPO yang cakna akan kebajikan sosial. Ini kerana pelabur menilai syarikat berdasarkan komitmen ESG melangkaui prestasi keuntungan kewangan jangka pendek sejak dari awal pembabitan sesebuah syarikat itu di pasaran saham.

 

Secara amnya, pertimbangan ESG mempengaruhi keutamaan pelabur IPO kerana wujudnya keseimbangan nilai.

 

Pelabur yang mengutamakan elemen ESG sering mencari syarikat yang seimbang dengan nilai mereka dan menyumbang secara berterusan pada sosial dan alam sekitar.

 

Pelabur lebih tertarik pada syarikat IPO yang menunjukkan amalan ESG kukuh, seperti contoh mempunyai dasar alam sekitar yang teguh, tempat kerja inklusif dan struktur tadbir urus yang telus.

 

Selain itu, pelabur IPO melihat kemampanan jangka panjang sebagai salah satu aspek utama yang mempengaruhi keputusan pelaburan mereka: Pelabur IPO semakin tertumpu pada kemampanan jangka panjang syarikat dan keupayaan syarikat itu mengurus risiko dan peluang berkaitan ESG.

 

Pelabur IPO mungkin memihak kepada syarikat IPO yang mempunyai strategi ESG yang proaktif, kerana ini boleh menunjukkan potensi penghasilan nilai jangka panjang dan daya tahan dalam menghadapi perubahan dinamik pasaran.

 

Seterusnya, terdapat permintaan yang semakin tinggi terhadap pelaburan yang tertumpu pada ESG termasuk pelaburan di pasaran IPO.

 

Pengurus aset dan pelabur institusi dilihat giat mencari peluang pelaburan di pasaran IPO sejajar dengan kriteria dan portfolio pelaburan mereka.


 

parafrasa

 


Contohnya, pelabur institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan syarikat yang telus dari segi pertimbangan dan penzahiran data berkaitan ESG dan tidak hanya menjurus pada perangkaan pulangan jangka pendek.

 

Memandangkan permintaan pelabur terhadap pelaburan berpaksikan ESG terus meningkat, syarikat yang mempunyai pertimbangan dan amalan ESG kukuh juga giat mempamerkan komitmen mereka terhadap ESG semasa proses penyenaraian IPO.

 

Seperti contoh, Pembekal Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS), Daythree Digital Berhad mengambil inisiatif untuk mempamerkan pertimbangan dan amalan ESG di laman webnya meskipun syarikat ini belum disenaraikan di Bursa Malaysia.

 

Secara nyata, syarikat ini sedang memastikan pertimbangan ESG sebagai sebahagian aspek penting dalam proses membentuk kemampanan masa hadapan.

 

Melihat pada kepentingannya, bagaimanakah pula syarikat boleh memastikan pertimbangan dan pengurusan efektif menerusi ESG?

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift menerusi Forum #digital4ESG anjuran Bursa Malaysia pada 10 Mei 2023, mempromosikan tanggungjawab bersama dalam kalangan eksekutif korporat mengenai pertimbangan ESG adalah penting untuk mengurus inisiatif kemampanan dengan berkesan.

 

Bercakap di sidang media sama, Datuk Muhamad Umar Swift menegaskan bahawa eksekutif korporat, seperti ketua pegawai kemampanan, ketua pegawai kewangan (CFO), ketua pegawai maklumat (CIO) dan lain-lain perlu mempunyai pemahaman komprehensif tentang tahap, jangkaan dan garis panduan ESG. Mereka bertanggungjawab untuk memastikan syarikat merancang dan meneruskan komitmen ESG.

 

“Syarikat harus bekerjasama dengan bank untuk memperoleh dana bagi mencapai peralihan yang digariskan melalui program pembiayaan hijau. CIO juga perlu memanfaatkan teknologi digital untuk membentang dan menyampaikan data ESG kepada pihak berkepentingan. Hanya dengan persefahaman bersama, eksekutif korporat akan dapat mencapai matlamat ESG dan meningkatkan prestasi keseluruhan syarikat dalam jangka panjang - Datuk Muhamad Umar Swift.

 

Dalam masa sama, Bursa Malaysia dilihat mengorak langkah penting sebagai pemangkin dan fasilitator korporat Malaysia dalam peralihan ekonomi hijau.

 

Bursa Malaysia akan menggunakan Platform Perisikan Kelestarian Berpusat (Platform CSI), sebagai satu inisiatif inovatif yang menghubungkan ESG dan teknologi untuk menangani keperluan dalam ekosistem.

 

Bursa Malaysia juga menjangkakan bahawa Platform CSI akan berfungsi sebagai repositori nasional untuk mendedahkan kemampanan syarikat tersenarai.


 

parafrasa

 


Keseluruhannya, pertimbangan dan amalan ESG oleh syarikat yang baru disenaraikan di pasaran saham bukan sahaja menjadi keutamaan pelabur malah Bursa Malaysia yang secara berterusan mengambil inisiatif dalam memastikan kemampanan sesebuah syarikat di masa hadapan.

 

Oleh itu, pengurusan syarikat perlu menyusun langkah dengan lebih jitu bagi memastikan amalan ESG mereka dapat memberikan manfaat secara menyeluruh bukan sahaja pada persekitaran, sosial dan tadbir urus perniagaan tapi juga kepada semua pihak berkepentingan. DagangNews.com

 

 

Dr. Norliza Che Yahya adalah Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam
parafrasa