Pertumbuhan Duopharma Biotech disokong oleh produk penjagaan kesihatan, makanan tambahan | DagangNews Skip to main content

Pertumbuhan Duopharma Biotech disokong oleh produk penjagaan kesihatan, makanan tambahan

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Sept - Duopharma Biotech Berhad bersedia untuk mencatatkan pertumbuhan yang disokong oleh permintaan pengguna untuk produk penjagaan kesihatan dan makanan tambahan.

 

RHB Research berkata, perkembangan kumpulan itu juga akan dipacu oleh kontrak perolehan insulin bernilai RM375 juta daripada Kementerian Kesihatan (KKM) sehingga 2025.

 

Firma itu berkata, jualan produk penjagaan kesihatan pengguna (CHC) pada Julai dan Ogos 2022 adalah mendatar kerana permintaan untuk produk meningkatkan imuniti kukuh pada 2021.

 

Bagaimanapun, berikutan kelonggaran pemakaian topeng muka di luar rumah pada April 2022 menyebabkan berlakunya peningkatan dalam jumlah kes batuk dan selsema.

 

"Kumpulan itu menjangkakan kemerosotan pada vaksin Sinopharm akan berterusan hingga penghujung 2022 dam baki inventori dijangka habis dijual menjelang 2023.

 

"Kemerosotan nilai itu berjumlah RM18 juta pada 1HFY22 dan kami menjangkakan nilai itu bertambah sebanyak RM7 juta ke RM8 juta pada 2HFY22," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Margin keuntungan Duopharma berisiko terjejas jika ringgit terus melemah

 

Firma itu berkata, penyusutan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) kekal menjadi kebimbangan utama, walaupun kos pengangkutan telah kembali normal ke paras sebelum pandemik ditambah pula dengan harga bahan mentah yang stabil.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata impak keseluruhan harus dikurangkan dengan peningkatan progresif dalam purata harga jualan (ASP) antara 6% ke 8%, terutamanya di bahagian CHC dan sektor swasta.

 

"Setiap 1% peningkatan dalam dolar AS boleh menjejaskan pendapatan Duopharma sebanyak 0.3% (kesan pada tahap kos)," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.64. - DagangNews.com