KUALA LUMPUR 21 Feb - Pertumbuhan Hibiscus Petroleum Berhad diunjur lemah suku ke suku pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 (3QFY24) disebabkan jumlah dagangan minyak mentah lebih rendah.
Susulan taklimat prestasi suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24) dengan pengurusan syarikat itu, Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata Hibiscus menjangkakan jumlah dagangan minyaknya pada 3QFY24 akan lebih rendah pada 1.77 juta tong minyak (boe).
Di samping itu, harga purata minyak mentah Brent mungkin lebih rendah sepanjang Januari hingga Mac 2024 (setakat suku ini AS$80 setiap tong minyak mentah (bbl).
“Kami menjangkakan kumpulan itu akan memperoleh keuntungan lebih lemah pada 3QFY24, sebelum memulih pada 4QFY24, di mana ia menyasarkan jumlah dagangan sebanyak 2.06 juta boe.
“Pada asas setahun penuh, kami masih menyasarkan pertumbuhan pendapatan sesaham (EPS) sebanyak 7% tahun ke tahun pada FY24 berdasarkan andaian harga minyak mentah dalaman sebanyak AS$80/bbl untuk 2024,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Pada 2QFY24, keuntungan bersih Hibiscus berjumlah RM102.3 juta adalah 35% lebih rendah suku ke suku dan merosot 11% tahun ke tahun, menjadikan pendapatan teras separuh pertama tahun kewangan 2024 (1HFY24) sebanyak RM256.6 juta.
Maybank IB berkata, hasilnya adalah sejajar 58% dan 59% daripada ramalan setahun penuh firma dan konsensus, dengan menjangkakan separuh kedua lebih lemah ekoran jumlah dagangan minyak mentah menurun 2% dan harga minyak yang lebih rendah sedikit.
Mengulas tentang perkembangan terbaharu Hibiscus, firma penyelidikan itu berkata ia akan memperoleh lebih banyak pengeluaran daripada pelbagai medan minyak pada FY23.
“Kami mendapati bahawa kumpulan itu menyasarkan untuk mencapai minyak pertama daripada: i) SF30 Water Flood Phase 2 (di mana pembangunan memerlukan enam penyuntik air dan lima telaga isian) dalam 1HFY25 (1,500 tong sehari); dan ii) medan Teal Westnya pada 1HFY26 (4,500 tong sehari),” katanya.
Firma itu menambah bahawa Hibiscus akan terus menjadi penerima manfaat daripada persekitaran harga minyak mentah yang meningkat dalam jangka sederhana memandangkan industri kini berada dalam fasa kekurangan pelaburan di samping jangkaan permintaan minyak yang tinggi pada 2024.
Maybank IB mengekalkan unjuran pendapatan Hisbiscus untuk FY24-26 dan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) RM2.99 sesaham.
Pada pukul 10:30 pagi ini, saham Hibiscus menurun 1 sen atau 0.4% kepada RM2.65 dengan permodalan pasaran bernilai RM2.1 bilion. - DagangNews.com