Pertumbuhan kredit bukan kewangan sektor swasta melonjak kepada 5.4% pada April 2024 - BNM | DagangNews Skip to main content

Pertumbuhan kredit bukan kewangan sektor swasta melonjak kepada 5.4% pada April 2024 - BNM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Mei - Malaysia mencatat peningkatan kredit sektor swasta bukan kewangan sebanyak 5.4% pada April 2024 berbanding 5.2% pada bulan sebelumnya didorong pertumbuhan lebih tinggi bagi pinjaman terkumpul dan bon korporat, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

 

Bank pusat itu berkata, peningkatan itu didorong pertumbuhan lebih tinggi bagi pinjaman terkumpul sebanyak 5.9% berbanding 5.7% pada Mac lalu dan bon korporat mencatatkan peningkatan sebanyak 0.2% kepada 3.4% mengatasi 3.2% yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

 

"Pertumbuhan pinjaman perniagaan meningkat kepada 5.6% berbanding 5% pada bulan terdahulu, dengan pertumbuhan lebih tinggi dalam modal kerja serta pinjaman berkaitan pelaburan. 

 

"Peningkatan pinjaman yang lebih tinggi juga dicatatkan dalam kebanyakan sektor perniagaan, termasuk perkilangan dan pembinaan. 

 

"Bagi isi rumah, pertumbuhan pinjaman terkumpul kekal pada 6.2% dengan pertumbuhan pinjaman yang stabil bagi kebanyakan tujuan pinjaman, termasuk untuk pembelian rumah dan kereta," katanya dalam sorotan April 2024, hari ini.

 

Selain itu, bank-bank Malaysia mengekalkan kedudukan mudah tunai dan pendanaan yang kukuh untuk menyokong pengantaraan.

 

Bank-bank berkenaan terus mencatat penampan mudah tunai yang kukuh dengan nisbah perlindungan mudah tunai pada 152.2% pada April 2024 berbanding 150.3% pada Mac 2024, kata BNM.

 

Agregat nisbah pinjaman kepada dana pula secara umum kekal stabil pada 82.3%  berbanding 81.7% pada bulan sebelumnya.

 

Menyentuh aspek kualiti aset sistem perbankan, BNM berkata, ia kekal dengan nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih keseluruhan secara umum kekal tidak berubah masing-masing pada 1.6% dan 1%.

 

"Nisbah perlindungan kerugian pinjaman termasuk rizab pengawal seliaan terus berada pada paras berhemat iaitu 120.4% daripada pinjaman terjejas dengan jumlah peruntukan mencakupi 1.5% daripada jumlah pinjaman," katanya.

 

Pada masa sama, BNM berkata, pasaran kewangan domestik terus dipengaruhi jangkaan pelabur global bahawa kadar dasar Amerika Syarikat (AS) akan kekal tinggi untuk tempoh yang lebih lama.

 

Katanya, berikutan kejutan kenaikan inflasi AS pada bulan April, peserta pasaran kewangan telah menurunkan lagi jangkaan mereka berhubung dengan kadar dasar AS 2024 kepada hanya satu hingga dua pemotongan.

 

"Kebanyakan mata wang serantau menurun nilai berbanding dolar AS (purata serantau1: -1.6%), termasuk ringgit. Bagaimanapun, nilai ringgit menurun dengan magnitud yang lebih kecil (-0.8%), berikutan tindakan terselaras oleh kerajaan dan BNM untuk menggalakkan aliran masuk ke dalam pasaran tukaran mata wang asing dalam negeri," katanya.  

 

Dalam pada itu, selaras dengan kadar hasil bon global, kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun meningkat sebanyak 12 mata asas, berikutan terdapatnya tanda-tanda kenaikan kadar hasil bon AS.

 

Mengulas inflasi keseluruhan, BNM berkata, ia kekal stabil pada 1.8% pada April 2024 manakala inflasi teras meningkat sedikit kepada 1.9%.

 

Selain itu, eksport menguncup berkembang sebanyak 9.% pada April 2024 didorong perkembangan eksport perkilangan dan komoditi.  

 

"Eksport perkilangan yang lebih tinggi didorong oleh pemulihan bagi eksport elektrik dan elektronik (E&E), yang mencatatkan pertumbuhan positif  selepas penguncupan selama 8 bulan sejak bulan Ogos 2023," katanya.- DagangNews.com