Pertumbuhan pinjaman industri susut kepada 4% pada Oktober 2023 kesan kelembapan pinjaman bukan isi rumah, kata AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Pertumbuhan pinjaman industri susut kepada 4% pada Oktober 2023 kesan kelembapan pinjaman bukan isi rumah, kata AmInvestment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Dis - Pertumbuhan pinjaman industri menyusut kepada 4% pada Oktober 2023 berbanding 4.3% pada September kesan kelembapan dalam pinjaman bukan isi rumah.

 

AmInvestment Bank Research berkata, pinjaman modal kerja berkembang pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 0.3% pada Oktober 2023 berbanding 1.2% pada September.

 

Katanya, pertumbuhan pinjaman isi rumah meningkat kepada 5.8% pada Oktober 2023 berbanding 5.6% YoY pada September, didorong kadar pinjaman yang lebih kukuh bagi pembelian hartanah kediaman, kereta penumpang dan kegunaan peribadi.

 

"Pada Oktober 2023, pertumbuhan dalam keseluruhan permohonan pinjaman meningkat kepada 25.8% berbanding 11.3% pada bulan sebelumnya dan ia disumbangkan peningkatan dalam pertumbuhan permohonan pinjaman isi rumah dan bukan isi rumah.

 

"Pada bulan yang sama, kelulusan pinjaman isi rumah dan bukan isi rumah juga mencatatkan peningkatan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan deposit meningkat 4.3% dan nisbah pinjaman dan despoit (LD) bagi sektor itu stabil pada 85.7% pada Oktober manakala nisbah pinjaman kepada dana/pinjaman kepada dana dan nisbah ekuiti berkurangan sedikit kepada 82.2%/71.7%.

 

Nisbah lindungan mudah tunai (LCR) Sektor susut kepada 151% pada Okt 2023 daripada 152% pada bulan sebelumnya disebabkan oleh LCR bank komersial, islam dan pelaburan yang lebih rendah.

 

"Sektor itu mencatatkan pertumbuhan CASA sederhana sebanyak 0.1% membawa kepada peningkatan dalam nisbah CASA sistem perbankan kepada 29.3% pada Oktober berbanding 29.2% pada bulan terdahulu.

 

"Kemerosotan dan peruntukan pinjaman terus menurun. Perlindungan kerugian pinjaman (LLC) sektor ini meningkat sedikit kepada 91.3% pada Oktober 2023 disebabkan oleh kemerosotan pinjaman yang lebih rendah," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor itu selepas mengambil kira tekanan makroekonomi, ketegangan geopolitik yang berterusan, tekanan ke atas kos pembiayaan dan cabaran ke atas pendapatan perbendaharaan daripada ketidaktentuan dalam keluk hasil. - DagangNews.com