Pertumbuhan pinjaman kurang agresif, Kenanga Research jangka Maybank catat pendapatan lebih sederhana | DagangNews Skip to main content

Pertumbuhan pinjaman kurang agresif, Kenanga Research jangka Maybank catat pendapatan lebih sederhana

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Mei - Kenanga Research menjangkakan Malayan Banking Berhad (Maybank) terus mencatatkan pertumbuhan pendapatan yang lebih sederhana kesan daripada pertumbuhan pinjaman yang kurang agresif.

 

Firma itu berkata, keadaan itu juga akan menyaksikan margin faedah turut terkesan berbanding tahun-tahun sebelum ini.

 

Katanya, perkembangan pertumbuhan pinjaman dilihat kekal stabil manakala segemn deposit mungkin kekal tidak menentu dengan kehadiran lebih kecil di Singapura dan Indonesia berbanding pesaing lain.

 

Firma itu berkata, industri domestik mungkin menjadi perlahan atau mengurangkan kos pembiayaan, menunjukkan kenaikan margin faedah bersih (NIM) bagi memenuhi panduan mampatan 5 hingga 8bps kumpulan.

 

"Inisiatif M25+ dijangka lebih intensif dengan perbelanjaan modal pada FY23 dalam pelaburan IT yang membawa kepada kemungkinan susut nilai yang lebih tinggi pada tahun-tahun akan datang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Untung bersih Maybank meningkat 10.7% kepada RM2.27 bilion bagi 1QFY23

 

Terdahulu, untung bersih Maybank bagi 1QFY23 meningkat 10.7% kepada RM2.27 bilion daripada RM2.05 bilion setahun sebelumnya.

 

Keuntungan itu dipacu oleh peningkatan berterusan dalam aset berkualiti serta perbendaharaan dan keuntungan pasaran yang menyokong pendapatan operasi bersih kumpulan.

 

Pendapatan bagi suku itu meningkat kepada RM14.78 bilion berbanding RM11.42 bilion sebelumnya.

 

Firma itu menjangkakan bank itu akan memberikan pulangan  paling mampan melalui hasil dividen peneraju pasaran yang konsisten (7%-8%).

 

Katanya, ia dijamin oleh visi jangka panjang kumpulan untuk memastikan kemampanan operasi kekal terkawal, dan mengesahkan kedudukan utamanya dalam pasaran.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM10.10 sesaham. - DagangNews.com