Perubahan dasar subsidi bahan api mampu beri kesan kepada Petronas Dagangan - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Perubahan dasar subsidi bahan api mampu beri kesan kepada Petronas Dagangan - MIDF Research

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 27 Feb - MIDF Research menyuarakan kebimbangan perubahan dasar kerajaan pada 2024 terutamanya pelaksanaan subsidi bahan api bersasar berkemungkinan memberi kesan kepada prestasi Petronas Dagangan Berhad.

 

Selain itu, menurutnya, terdapat risiko inflasi dan ketegangan geopolitik yang akan mendorong harga minyak mentah Brent kekal meningkat melebihi AS$80 satu tong bagi tempoh sepanjang tahun 2024.

 

Meski pun demikian, firma penyelidikan itu mengekalkan pandangan positif prospek FY24 operasi Petronas Dagangan.

 

"Kumpulan itu mempunyai kapasiti untuk memanfaatkan peningkatan sektor pelancongan dan perjalanan udara di samping sektor logistik untuk permintaan bahan apinya," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Sementara itu, kata firma tersebut, hasil suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23) Petronas Dagangan meningkat +6.1% YoY kepada RM10.1 bilion.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Petronas Dagangan naik 21% kepada RM943 juta pada FY23, isytihar dividen 27 sen sesaham

 

Jelasnya, hasil yang lebih tinggi itu disumbangkan oleh volum jualan yang meningkat sebanyak +8% YoY, walaupun berlaku penurunan harga jualan purata sebanyak -6% YoY.

 

RHB Investment pada masa sama berpendapat bahawa tumpuan utama Petronas Dagangan adalah perniagaan bukan bahan api memandangkan banyak stesen minyaknya terlibat dengan penyelenggaraan dan pembaikan pada tahun lalu untuk penubuhan premis Mesra.

 

mesra

 

Katanya, Petronas Dagangan telah mengukuhkan jenama kafe Mesra di seluruh negara, yang menekankan komitmen untuk meningkatkan pengalaman pelanggan.

 

"Mengenai kemampanan, PDB telah terlibat secara aktif dalam pelbagai inisiatif, termasuk menjana tenaga solar stesen minyaknya dan meningkatkan kerjasama dalam kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV).

 

"Kami percaya usaha ini akan membantu Petronas Dagangan dalam memanfaatkan industri tenaga bersih dan mungkin menambah satu lagi hasil bukan bahan api kepada segmen kemudahannya," jelasnya.

 

Firma penyelidikan itu juga tidak melakukan perubahan kepada unjuran pendapatan Petronas Dagangan untuk FY24 memandangkan pendapatan Kumpulan itu pada 4QFY23 adalah dalam jangkaan.

 

Katanya, mereka percaya Petronas Dagangan berada dalam trajektori yang betul untuk FY24. 

 

"Walau bagaimanapun, kami menyemak semula pendapatan FY25 kami ke atas sebanyak +4%, dengan menjangkakan pertumbuhan PDB dalam segmen Kemudahan dan inisiatif kemampanannya. 

 

"Harga sasaran (TP) kami RM24.91 sesaham dan saranan 'Beli'," ujarnya.- DagangNews.com