Perubahan dinamik pasaran dijangka beri kesan positif kepada pengeluar sarung tangan tempatan, kata RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Perubahan dinamik pasaran dijangka beri kesan positif kepada pengeluar sarung tangan tempatan, kata RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Mei - Perubahan dinamik pasaran dijangka menawarkan kesan positif kepada pengeluar sarung tangan tempatan terutama ketika berdepan cabaran berterusan dalam meningkatkan purata harga jualan (ASP).

 

RHB Investment berkata, kehabisan inventori pelanggan dijangka berakhir pada separuh pertama 2023 dan firma itu menjangkakan pesanan yang lebih baik pada separuh kedua 2023.

 

Katanya, keadaan itu mungkin diikuti pentauliahan beransur-ansur barisan pengeluaran baharu menjelang 2024.

 

"Bagaimanapun, terdapat beberapa risiko terhadap perkar aitu termasuk permintaan yang lebih lemah daripada jangkaan dan peningkatan kos operasi ya ng lebih tinggi daripada jangkaan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, eksport sarung tangan Malaysia meningkat semula 8% dan 10% dari bulan ke bulan pada Februari dan Mac 2023.

 

Katanya, ia adalah kenaikan kedua berturut-turut selepas penurunan 14% pada bulan Januari, yang menunjukkan permintaan sarung tangan semakin mendapat daya tarikan.

 

"Bagaimanapun, kami faham bahawa pelanggan masih enggan membuat pesanan secara besar-besaran," katanya.

 

Firma itu berkata, pesanan awal juga telah dipendekkan kepada satu bulan daripada tiga bulan sebelum COVID-19.

 

Katanya, pemain industri menjangkakan rasionalisasi inventori pelanggan akan berlaku menjelang separuh kedua 2023, disokong oleh tahap inventori sarung tangan yang telah dibina sejak 2020, yang sedang berjalan menuju tarikh luputnya (jangka hayat biasa: 3-5 tahun).

 

"Oleh itu, kami mengekalkan sasaran permintaan akhir tahun 2023 kami pada 415 bilion keping, mewakili pertumbuhan 4%," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor itu. - DagangNews.com