Perubahan pegangan saham mengakibatkan kawalan lebih daripada 20% dalam CRA perlukan kelulusan SC | DagangNews Skip to main content

Perubahan pegangan saham mengakibatkan kawalan lebih daripada 20% dalam CRA perlukan kelulusan SC

Kedua-dua keperluan ini telah ditetapkan di bawah Garis Panduan CRA

KUALA LUMPUR 11 Jun - Suruhanjaya Sekuriti (SC) menjelaskan bahawa sebarang perubahan pegangan saham yang mengakibatkan seseorang mengawal sebanyak 20 peratus perubahan atau lebih modal berbayar agensi penarafan kredit (CRA) memerlukan kelulusan daripada badan kawal selia itu terlebih dahulu.

 

Mengulas laporan berita terkini mengenai kemungkinan perubahan kepada pegangan saham RAM Holdings Berhad (RAM), SC berkata kelulusan awal daripada SC juga diperlukan untuk sebarang peningkatan terkumpul berikutnya dalam pegangan saham sebanyak 10 peratus atau lebih daripada modal berbayar CRA. 

 

“Kedua-dua keperluan ini telah ditetapkan di bawah Garis Panduan CRA,” katanya dalam satu kenyataan, Bernama melaporkan.

 

Suruhanjaya itu berkata, dalam menilai permohonan sedemikian, SC mempertimbangkan antara lain cadangan nilai oleh pemohon, berbanding persekitaran persaingan yang semakin meningkat di mana CRA beroperasi.

 

“Ini termasuk pengembangan produk, pertumbuhan dan kemampanan perniagaan, kerjasama serantau, peningkatan set kemahiran dan sumbangan keseluruhan kepada pembangunan industri penarafan kredit tempatan dan pasaran bon Malaysia.

 

“Ini adalah selaras dengan matlamat Pelan Induk Pasaran Modal,” katanya.

 

Suruhanjaya itu berkata, memandangkan peranan penting yang dimainkan oleh CRA dalam memberikan pendapat penarafan kredit yang boleh dipercayai, kebebasan dan objektiviti proses penilaian kredit dan keputusan penarafan tidak boleh dikompromi.

 

Bagi  memastikan ini, ia berkata, Garis Panduan CRA SC telah menetapkan kewajipan yang mesti dipatuhi oleh agensi penarafan kredit secara berterusan yang termasuk menjadikan pelantikan ahli lembaga pengarah dan ketua pegawai eksekutif CRA tertakluk kepada penilaian yang sesuai dan wajar serta kelulusan dari SC.

 

“Keperluan lain termasuk penubuhan jawatankuasa penarafan yang terdiri daripada individu berpengalaman, berkelayakan dan bebas  untuk menetapkan dan memutuskan semua penarafan kredit, sekali gus mengelakkan penglibatan lembaga dan pemegang saham dalam perbincangan dan keputusan penarafan.

 

“Selain itu, pengerusi jawatankuasa penarafan mestilah ahli yang berkelayakan dan bebas,” katanya.

 

SC berkata ia akan terus mengambil langkah proaktif untuk mengukuhkan kebebasan penarafan dan objektiviti, dan jika perlu, mengenakan syarat tambahan terhadap kelulusan yang diberikan kepada pemohon.

 

Oleh itu, ia sedang mengkaji rangka kerja sedia ada, termasuk jawatankuasa penarafan dan komposisinya.

 

Melangkah ke hadapan, SC berhasrat untuk menjadikannya satu keperluan bagi majoriti ahli lembaga pengarah di kedua-dua syarikat induk dan syarikat penarafan serta jawatankuasa penarafan terdiri daripada ahli bebas dan bagi sebarang keputusan dalam memberikan dividen kepada pemegang saham memerlukan kelulusan dari SC terlebih dahulu.

 

Ini katanya, bagi memastikan CRA terus beroperasi dengan sumber yang mencukupi untuk mengekalkan operasi penarafannya.

 

Sehingga kini, SC telah memberikan kelulusan kepada lebih daripada seorang pemohon untuk memegang lebih daripada 20% pegangan saham dalam CRA. - DagangNews.com