Perubatan tradisional dan komplementari dikecualikan cukai perkhidmatan - MOF | DagangNews Skip to main content

Perubatan tradisional dan komplementari dikecualikan cukai perkhidmatan - MOF

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Feb - Perkhidmatan pengamal Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K) yang juga dikenali sebagai 'Traditional and Complementary Medicine (T&CM)' tidak akan dikenakan cukai perkhidmatan seperti diwartakan sebelum ini. 

 

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira maklum balas holistik daripada pelbagai pihak.

 

Katanya, ia juga susulan keputusan kementerian agar perkhidmatan disediakan pusat kesihatan atau kesejahteraan, rumah urut atau tempat seumpamanya yang dikendalikan oleh pengamal PT&K berdaftar dengan Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 [Akta 775] tidak dikategorikan sebagai perkhidmatan bercukai berkuatkuasa mulai 1 Mac 2024. 

 

"Maklum balas ini juga telah mengambil kira perbincangan daripada sesi libat urus bersama pihak berkepentingan industri PT&K," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pengecualian cukai perkhidmatan bagi perkhidmatan PT&K adalah salah satu usaha untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat sebagaimana yang ditekankan dalam konsep Malaysia MADANI dan diterapkan dalam kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat.

 

Beliau berkata, keputusan yang dipersetujui oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah langkah untuk meningkatkan kesihatan diri keselesaan dan kesejahteraan rakyat.

 

Pada masa yang sama katanya, Kerangka Ekonomi MADANI juga akan giat memperkasakan sektor perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) yang menggajikan hampir separuh tenaga kerja di Malaysia. 

 

 

MOF
Datuk Seri Amir Hamzah Azizan

 

 

"Kerajaan akur bahawa jauh lagi landasan untuk melebarkan sayap PMKS tempatan ke persada antarabangsa. Maka pengusaha-pengusaha tersebut memerlukan kebergantungan permintaan domestik untuk kemandirian perniagaan mereka buat masa ini, lebih-lebih lagi bagi PMKS yang menyediakan perkhidmatan kepada rakyat Malaysia," katanya.

 

Menurut MOF, sehubungan dengan keputusan tersebut, pengamal PT&K yang telah berdaftar denganAkta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 [Akta 775] tidak perlu berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

 

Katanya, ia seterusnya tidak mengenakan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan perubatan tradisional Melayu, perubatan tradisional Cina, perubatan tradisional India, Homeopati, Kiropraktik, Osteopati dan amalan pengubatan Islam.

 

"Kementerian Kewangan juga bersetuju supaya keputusan tersebut terpakai ke atas perkhidmatan yang disediakan pusat kesihatan atau kesejahteraan, rumah urut atau tempat yang seumpamanya yang dikendalikan pengamal PT&K yang berdaftar dengan Akta 775 bagi perkhidmatan di atas untuk tempoh sebelum 1 Mac 2024," katanya. - DagangNews.com