Perundangan Malaysia antara paling rumit di Asia Pasifik | DagangNews Skip to main content

Perundangan Malaysia antara paling rumit di Asia Pasifik

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Sept. - Malaysia berada di tangga kelima yang mempunyai perundangan dan peraturan paling rumit di Asia Pasifik, menyebabkan kesukaran kemasukan pelaburan asing. 

Empat negara di hadapan Malaysia didahului oleh Indonesia, Taiwan, Jepun dan Korea Selatan.

Di peringkat global, Malaysia menduduki di kedudukan tangga ke-31 daripada 77 bidang kuasa di seluruh dunia. 

Kedudukan itu didedahkan menerusi kajian TMF Group iaitu ‘Rules and regulations: Managing the evolving compliance landscape facing multinationals’.

“Bidang kuasa paling rumit dari segi peraturan, perundangan dan hukuman dikenalpasti berdasarkan perubahan perundangan yang kerap dan ketidakpastian di sekitar penafsiran undang-undang.

“Penubuhan (syarikat) sering lambat, melibatkan banyak langkah dengan perniagaan harus mengikuti dan mematuhi proses yang ditetapkan oleh pihak berkuasa yang berlainan di pelbagai peringkat,” jelas kajian itu.

 

Ranking
KEDUDUKAN negara di sebelah kiri menunjukkan bidang kuasa yang mengambil masa lebih setahun untuk membubarkan sesebuah syarikat, manakala di sebelah kanan menunjukkan keperluan pemberitahuan kepada bidang kuasa di peringkat negara / wilayah dan bandar / tempatan mengikut rantau.

 

Di peringkat global, Indonesia turut memegang kedudukan perundangan dan peraturan paling rumit dengan Hong Kong, Australia, Vietnam, Filipina dan New Zealand menduduki tangga terendah kerana persekitaran perundangan yang menggalakkan pelaburan asing. 

Antara punca menyebabkan Indonesia menduduki tangga pertama kerana negara itu mengambil masa selama setahun untuk membubarkan sesebuah syarikat, lebih daripada setahun untuk menubuhkan syarikat awam dan sehingga baru-baru ini, Indonesia memiliki undang-undang yang menafikan akses pelabur ke banyak industri.

Bagaimanapun, kajian itu mendapati beban perundangan yang mengatur ketelusan dan pendedahan hak milik terus meningkat di seluruh rantau Asia Pasifik.

Ini dapat dilihat, antaranya menerusi panduan Anti-Penggubahan Wang Haram digunapakai oleh lebih 50% bidang kuasa di rantau itu di kesemua industri berbanding 47% di seluruh negara. 

Ketua Strategi Petumbuhan dan Pembangunan di TMF Group, Predrag Maletic berkata, keperluan pematuhan semakin bertindih, sering kali disebabkan oleh tuntutan perundangan antarabangsa dan tempatan yang berlaku serentak.

“Perniagaan perlu mempunyai kefahaman kukuh terhadap amalan tempatan dan kerangka antarabangsa untuk melepasi kerumitan peraturan, perundangan dan hukuman,” katanya dalam sebuah kenyataan dikeluarkan hari ini. - DagangNews.com