Peruntukan Bajet 2023 tidak mungkin melebihi RM372.3 bilion ekoran kekangan fiskal -  AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Peruntukan Bajet 2023 tidak mungkin melebihi RM372.3 bilion ekoran kekangan fiskal -  AmInvestment

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 13 Feb - Pembentangan Bajet 2023 pada 24 Februari ini dijangka kekal mengembang dengan mengambil kira persekitaran ekonomi global dan kemungkinan berlaku kemelesetan global tahun ini, demikian menurut AmInvestment Bank Research.

 

Malah, pemulihan ekonomi domestik perlu dilaksanakan secara berterusan memandangkan segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) belum kembali sepenuhnya ke tahap sebelum pandemik.

 

Firma itu berpandangan, peruntukan bagi Bajet 2023 yang pernah dibentangkan pada 7 Oktober lalu sebelum Parlimen dibubarkan tidak mungkin melebihi RM372.3 bilion, berikutan kekangan fiskal yang ketat dihadapi kerajaan.

 

"Namun, kami menjangkakan semua langkah mesra rakyat akan dikekalkan untuk memastikan permintaan domestik yang mampan memandangkan perdagangan luar lebih perlahan.

 

"Peruntukan semula daripada perbelanjaan pembangunan yang diperuntukkan dalam bajet sebelum ini untuk menyediakan sokongan kepada PKS mungkin boleh dilakukan," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

 

Parlimen Malaysia

 

 

Bajet 2023 akan dibentangkan semula di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah pilihan raya umum yang diadakan 19 November lalu menyaksikan pembentukan kerajaan perpaduan. 

 

Pada Januari lalu, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Bajet 2023 yang akan dibentangkan semula itu tidak akan terikat dengan belanjawan yang dibentangkan oleh kerajaan terdahulu (di bawah kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri). 

 

Bagaimanapun, katanya, cadangan yang dibuat dalam pelan belanjawan terdahulu tetap diambil kira dalam perangkaan Bajet 2023 yang baharu ini.

 

Sebaliknya, beliau turut memberi jaminan Bajet 2023 yang akan dibentang semula bulan depan, memenuhi keperluan setiap lapisan rakyat.

 

Menurut AmInvestment, terdapat kemungkinan pelarasan kadar cukai kepada kurungan pendapatan teratas bagi individu dalam pembentangan bajet kali ini. 

 

"Tetapi jika ada, kuantum dijangka kecil dan tidak akan cukup signifikan untuk melembapkan tahap penggunaan swasta memandangkan individu berpendapatan tinggi mempunyai kecenderungan marginal yang lebih rendah," jelasnya.

 

 

gambar hiasan

 

 

Ia menjangkakan kerajaan akan mengekalkan atau menambah baik beberapa subsidi berkaitan pengeluaran makanan dan program pemindahan tunai demi kesejahteraan rakyat.

 

Firma itu juga berkata, subsidi bersasar untuk bahan api mungkin dilaksanakan, tetapi kerajaan  perlu lebih berhati-hati bagi mengelak tekanan inflasi yang lebih tinggi.

 

"Sekiranya tiada subsidi bersasar diumumkan, mungkin mekanismenya boleh diumumkan dalam bajet akan datang.

 

"Sehubungan itu, inflasi negara yang berada pada 3.9% pada Disember 2022 masih tinggi mengikut piawaian sejarah," katanya.

 

 

MOF

 

 

Mengenai cukai barang dan perkhidmatan (GST), AmInvestment berpendapat, walaupun iklim ekonomi semasa mungkin menimbulkan beberapa cabaran untuk pelaksanaan GST dalam tempoh terdekat, namun proses itu boleh dimulakan dengan membimbing pasaran mengenai jangka masa yang bersesuaian dan perancangan masa depan.

 

Menurutnya, komitmen sedemikian dilihat sebagai petanda positif dari perspektif penarafan kredit berdaulat serta menyediakan pasaran dengan lebih jelas. 

 

"Jika GST tidak dimansuhkan pada 2018, kutipan daripada cukai ini boleh mencecah sehingga RM63.6 bilion pada 2022, diselaraskan kepada pertumbuhan ekonomi.

 

"Bagaimanapun, kami tidak fikir ia akan dilaksanakan secepat tahun ini seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri," katanya. 

 

Dalam temu bual dengan Bloomberg pada 30 Januari lalu, Anwar Ibrahim menolak pelaksanaan semula cukai tersebut walaupun mengakui GST kekal sebagai sistem percukaian paling telus dan cekap. - DagangNews.com