Peruntukan RM30 juta jayakan slogan 'Sawit Anugerah Tuhan' | DagangNews Skip to main content

Peruntukan RM30 juta jayakan slogan 'Sawit Anugerah Tuhan'

Sawit

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) memperuntukkan kira-kira RM30 juta bagi menjayakan usaha strategik penggunaan slogan baharu "Sawit Anugerah Tuhan".

Timbalan Menterinya, Willie Mongin berkata, slogan baharu itu adalah sebagai langkah pemerkasaan eksport sawit untuk menembusi pasaran baharu di luar negara.

"Melalui MPIC di bawah MPOC (Majlis Minyak Sawit Malaysia), kita memperuntukkan lebih kurang RM30 juta bagi menjayakan usaha strategik itu.

"Jumlah tersebut adalah termasuk pengurusan, perbelanjaan promosi sawit dan sebagainya di seluruh dunia," katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Senator Senator Datuk Razali Idris di Dewan Negara hari ini.

Willie Mongin
Willie Mongin 

 

Jawapan tersebut dinyatakan selepas Datuk Razali Idris meminta beliau untuk menyatakan jumlah peruntukan yang disediakan oleh MPIC bagi membawa kempen tersebut ke peringkat antarabangsa.

Slogan "Sawit Anugerah Tuhan" adalah slogan baharu yang diperkenalkan MPIC bagi menggantikan slogan terdahulu iaitu "Sayangi Sawitku".

Slogan tersebut dihasilkan sebagai langkah untuk memperkasa eksport agro-komoditi sawit sekali gus menangani kempen anti sawit dalam kalangan negara Kesatuan Eropah (EU).

Razali Idris
Razali Idris

 

Tambah beliau lagi, slogan tersebut adalah hasil acuan baharu melalui pendekatan yang dibawa oleh kerajaan hari ini.

Baca: Malaysia ajak negara luar datang teliti proses sawit

Slogan tersebut juga dilihat lebih bersifat universal dan boleh diterima pakai di seluruh dunia.

"Melalui slogan itu juga, kementerian (MPIC) yakin ia akan dapat menembusi pasaran-pasaran baharu seperti di rantau Timur Tengah, Asia Tenggara dan negara-negara di benua Afrika. 

"Pasa masa yang sama, kita juga akan memperkukuh parasan-pasaran yang sedia ada dengan pendekatan yang lebih mantap," tambahnya lagi. - DagangNews.com