KUALA LUMPUR 11 Sept - Keperluan mendapatkan dron dalam kategori Medium Altitude Long Endurance (MALE) menjadi perhatian tentera serantau apababila Thailand memilih aset tersebut bagi mengawasi ruang udaranya.
Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) menerima satu daripada tiga sistem udara tanpa pemandu (UAS) Dominator XP (UAS) buatan Israel.
Dominator XP ialah versi Diamond DA42 Twin Star yang telah diubahsuai untuk berfungsi sebagai dron MALE oleh firma Israel Aeronautics Defense Systems.
Pesawat itu direka untuk melaksanakan pelbagai misi seperti perisikan, pengawasan dan peninjauan (ISR).
Antaranya operasi cari dan menyelamat (SAR), perisikan elektronik (ELINT) dan perisikan komunikasi (COMINT).
Berdasarkan konfigurasi MPP DA42, platform ini boleh dilengkapi dengan sistem canggih seperti panduan siang/malam dan radar optik, sistem lokasi mudah alih, komunikasi satelit dan banyak lagi.
Ia boleh terbang sehingga pada kelajuan 354 kilometer sejam dengan jarak ketinggian 9,100 meter.
Dominator XP juga mampu berada di ruang udara sehingga 28 jam.
Sebagai sistem UAS dua enjin, Dominator XP dikatakan berprestasi baik untuk membantu misi SAR meliputi jarak jauh dengan selamat dan boleh beroperasi dalam keadaan cuaca buruk termasuk di kawasan perairan.
Kontrak perolehan pesawat UAS bernilai AS$27 juta ini ini dimeterai pada 2018 oleh Thailand dengan Aeronautics Ltd. Israel untuk pembelian tiga DA42 Dominators.
Komitmen belanjawan RTAF untuk pengambilalihan aset ini berlangsung dari tahun 2018 hingga 2021.
Selain untuk kegunaan pertahanan, UAS Dominator XP ini juga akan digunakan bagi tugasan selain daripada ketenteraan seperti membantu dalam operasi kemanusiaan.
Malaysia dan Indonesia sebelum ini telah memilih MALE Anka S buatan Turkiye bagi meningkatkan keupayaan untuk mengawasi ruang untuk negara masing-masing.
Malaysia pada Mei lalu mengesahkan pembelian tiga dron Anka-S yang dimeterai pada Pameran Antarabangsa Udara dan Maritim Langkawi bernilai RM428 juta.
Anka-S akan dioperasikan oleh No. 11 Skuadron Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang telah dinamakan sebagai Skuadron UAS.
Ia mempunyai kemampuan untuk terbang selama 24 hingga 30 jam, 30,000 kaki altitud dan membawa bebanan antara 250-350 kilogram.
Negara jiran Indonesia pula memuktamadkan keputusan membeli 12 buah dron Anka S bernilai bagi mengukuhkan pertahanan negara.
Dengan perolehan tersebut menjadikan Malaysia dan Indonesia sebagai negara di rantau ini menggunakan UAS jenis sama.
Negara seberang tambak pula dilihat lebih terkehadapan apabila telah mengoperasikan dron MALE lebih awal iaitu sejak sembilan tahun lalu.
Singapura memilih UAS Heron 1 buatan Israel Aerospace Industries. Kemajuan Singapura dalam penggunaan UAS terserlah apabila turut sama-sama membangunkan beberapa komponen pada pesawat tersebut.
Vietnam pula bakal menjadi pengguna UAS Heron 1 setelah memeterai kontrak pembelian sebanyak AS$160 juta dengan Israel lima tahun lalu. - DagangNews.com