KUALA LUMPUR 8 Nov - Enam pesawat tempur F-35A Lightning II milik Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) berada di Malaysia bagi menyertai Eksesais Elangaroo 2022.
Elangaroo iaitu singkatan Helang dan Kangaroo merupakan eksesais bersama antara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan RAAF.
Ia bertujuan mengukuhkan perkongsian dengan meningkatkan kesiapsiagaan dan saling kebolehoperasian bagi kedua-dua angkatan udara ini.
Eksesais bermula semalam sehingga 18 November ini melibatkan ruang udara Butterworth, Kuantan di Pahang dan kawasan sekitarnya.
Bagi edisi kali ini, ia juga akan dilaksanakan bersekali dengan Eksesais Paradise 9/22.
Terdahulu, kesemua pesawat yang berlepas dari RAAF Tindal tiba di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang pada Jumaat lalu diiringi pesawat Airbus A330 MRTT dan Boeing C-17 Globemaster III.
Apa yang menarik, ini merupakan kali pesawat F-35A Lightning II beroperasi di luar Australia dan di rantau ini lantas menunjukkan keistimewaan Malaysia sebagai negara sahabat.
Penyertaan F-35A Lightning II yang merupakan pesawat tempur generasi kelima juga bakal memberi pengalaman baharu pada juruterbang TUDM dalam taktik pertempuran udara mutakhir.
Peluang berlatih dengan pesawat tempur paling hebat dan moden di dunia ini sangat penting bagi TUDM agar sentiasa menyediakannya warganya pada perkembangan teknologi.
Memandangkan TUDM sedang melalui fasa pembangunan menerusi program pesawat tempur ringan dan latihan lanjutan (LCA/LIFT), maka latihan sebegini amat diperlukan.
Semakin lewat keputusan untuk memuktamadkan perolehanan pesawat ini menyebabkan TUDM semakin ketinggalan dalam persaingan teknologi.
Atas sebab itulah mengapa program pemodenan TUDM penting dilaksanakan mengikut apa dirancang agar kita memiliki setidak-tidaknya pesawat tempur jenis generasi 4+ pada jumlah yang seimbang.
Australia walaupun mempunyai angkatan tentera yang kecil berbanding saiz negara tetapi dilengkapi aset-aset moden selain memainkan peranan dalam keselamatan serantau.
Perolehan sebanyak 72 buah pesawat ini F-35A Lightning II ini bagi menggantikan pesawat-pesawat F/A-18A/B Hornet yang telah digunakan RAAF sejak 1984.
Hubungan TUDM - RAAF sememangnya erat, tambahan pula dua negara ini turut menganggotai Pengaturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) bersama United Kingdom, Singapura dan New Zealand.
Pada Jun 2018, RAAF telah menyumbangkan alat-alat ganti pesawat F/A-18 Hornet (Model A ke Model D) kepada TUDM sebagai salah satu bentuk bantuan pertahanan.
Semasa fasa awal pemodenan TUDM pula, RAAF menyerahkan sebanyak 18 buah pesawat Sabre selepas diklasifikasikan sebagai lebihan (surplus) apabila RAAF menerima jet supersonik Dassault Mirage IIIC buatan Perancis.
Pesawat Sabre diguna tahun 1976 apabila digantikan dengan pesawat pejuang supersonik F-5A dan F-5B Northrop buatan Amerika Syarikat. - DagangNewscom