Petaling Jaya lokasi carian paling popular pembeli rumah pada 2023 - iProperty | DagangNews Skip to main content

Petaling Jaya lokasi carian paling popular pembeli rumah pada 2023 - iProperty

Bandar raya Petaling Jaya
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Dis - iProperty.com.my mendedahkan 10 kawasan yang paling banyak dicari dalam kalangan pencari hartanah di Malaysia pada 2023, dan Petaling Jaya menduduki tempat teratas sebanyak dua kali dalam senarai tahunan tersebut. 

 

Sebelum ini Petaling Jaya juga berada di tempat teratas pada 2021. Jaringan lebuh raya dan pengangkutan awam Petaling Jaya, bersama dengan pelbagai kemudahan, menjadikannya destinasi tempat tinggal yang ideal bagi penduduk bandar.

 

Ia terletak di persimpangan Kuala Lumpur, Sungai Buloh, Shah Alam, Subang Jaya dan Puchong, yang menempatkan pusat beli-belah popular seperti 1 Utama Shopping Centre, IKEA Damansara, The Curve dan IPC Shopping Centre.

 

Tiga hartanah yang paling banyak diurus niaga di Petaling Jaya pada tahun ini adalah pelbagai jenis banglo, semi-D dan rumah teres di SS2, SS3, SS22 dan SS22A Damansara Jaya. 

 

Dua hartanah yang paling banyak dicari di Petaling Jaya adalah Atwater Serviced Apartment (386.6% YoY) dan Panorama Residence Condominium (148% YoY).

 

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia (PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my), Sheldon Fernandez berkata, berdasarkan data carian 2023, pihaknya mendapati terdapat perubahan ketara dalam pilihan pembeli rumah. 

 

Beliau berkata, memandangkan lebih ramai majikan melaksanakan aturan kembali ke pejabat, terdapat peningkatan semula dalam tarikan kehidupan bandar. 

 

 

iproperty
                                Sheldon Fernandez

 

 

Katanya, hartanah bandar menawarkan beberapa kelebihan kepada mereka yang bekerja di pejabat seperti ketersambungan yang sangat baik dan akses mudah ke tempat kerja menggunakan pengangkutan awam, memberikan masa perjalanan yang lebih singkat. 

 

"Kawasan bandar juga sering menjadi pusat aktiviti, menawarkan pelbagai kemudahan seperti pusat beli-belah, restoran dan kemudahan rekreasi. Disebabkan itu, kawasan tersebut dapat menarik mereka yang mencari gaya hidup dinamik di luar waktu kerja. 

 

"Gabungan faktor-faktor ini menjadikan kehidupan bandar sangat sesuai untuk golongan professional yang bekerja di pejabat. Trend ini menekankan daya tahan dan kebolehsuaian pasaran hartanah," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

 

Sementara itu, Cyberjaya kembali ke senarai kawasan paling banyak dicari pada 2023 selepas kali terakhir muncul pada 2021, selain Bangsar membuat penampilan pertamanya dalam senarai tersebut, yang mana masing-masing menduduki tempat ke-10 dan ke-9.

 

Subang Jaya membuat kemunculan semula di tempat ke-8 sejak penampilan terakhirnya pada 2021. Pusat bandar Kuala Lumpur (tempat ke-7) kembali ke senarai pada kedudukan sama seperti 2021. 

 

Sebagai kawasan baharu dalam senarai, Bukit Jalil menduduki tempat ke-6, manakala Puchong mengekalkan kedudukan tempat ke-5 dari tahun 2022

 

Selain itu, Cheras berada di kedudukan ke-4, Johor Bahru menduduki tempat ke-3 dan Mont Kiara sebagai naib johan pada 2023, melonjak daripada kedudukan ke-8 pada 2022. - DagangNews.com