Petron, UPM jalin kerjasama pacu inisiatif jangka panjang kelestarian alam sekitar | DagangNews Skip to main content

Petron, UPM jalin kerjasama pacu inisiatif jangka panjang kelestarian alam sekitar

Kilang Penapisan Petron Port Dickson
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Feb - Syarikat Petron Malaysia memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk memacu inisiatif jangka panjang kelestarian alam sekitar. 

 

Petron dan UPM berkata, kerjasama tersebut termasuk pemuliharaan biodiversiti dan ekonomi kitaran, dengan meneruskan inisiatif sedia ada seperti projek penyerapan dan penyimpanan karbon di ‘Port Dickson Green Lung’ serta projek kitar semula sisa buangan kepada produk baharu.

 

Katanya, projek Port Dickson Green Lung bertujuan untuk memelihara hutan belantara yang seluas 161 hektar di sekitar Kilang Penapisan Petron Port Dickson, Negeri Sembilan. 

 

"Kawasan ini akan digunakan untuk memperkaya tahap biodiversiti, serta kawasan tadahan karbon semula jadi yang menyerap karbon daripada atmosfera untuk meningkatkan kualiti udara bagi penduduk setempat di Port Dickson.

 

"Keluasan hutan belantara tersebut adalah bersamaan dengan lebih daripada enam unit Stadium Narendra Modi, iaitu stadium kriket terbesar dunia yang terletak di India.

 

"Bagi menggalakkan ekonomi kitaran, pihak UPM kini dalam proses kajian untuk mengitar semula sisa Bio-Sulphur yang dijana daripada kilang penapisan Petron kepada bahan tambahan baja. Di samping itu, mereka juga menyelidik bahan sisa yang dijana daripada Loji ‘Palm Methyl Ester’ sawit (PME) Petron," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Menurut kenyataan itu, MoU itu menandakan komitmen Petron dan UPM untuk mewujudkan persekitaran yang lebih sihat dan kaya dengan biodiversiti untuk menangani perubahan iklim. 

 

 

petron
Faridah Ali

 

 

Katanya, kerjasama itu juga memanfaatkan gabungan kelebihan dan keupayaan kedua-dua pihak dari segi kepakaran, teknologi, rangkaian dan sumber dari bidang penyelidikan, pendidikan, serta pengurusan projek yang berkesan. 

 

"UPM komited untuk mengekalkan kedudukannya sebagai kampus hijau yang terkemuka di Malaysia, selain mewujudkan komuniti kampus yang peka terhaadap alam sekitar. Usaha-usaha tersebut termasuklah mencapai agenda kelestarian alam sekitar di peringkat universiti selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG). 

 

"Perkongsian kelestarian ini adalah sejajar dengan sokongan Petron untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDGs) 13, 15 dan 17, yang meliputi Tindakan Iklim, Kehidupan di Darat serta Kerjasama Demi Matlamat," katanya.

 

Sementara itu, Pengurus Besar Syarikat Petron Malaysia, Faridah Ali berkata, hutan merupakan habitat semula jadi yang amat penting dalam pengurusan ekosistem termasuklah pengawalan iklim dan air. 

 

Di Petron katanya, selain daripada memberi sokongan kepada pembangunan ekonomi negara, pihaknya juga menerapkan amalan perniagaan yang lestari dalam setiap aspek operasi perniagaan.

 

"Kerjasama kami dengan UPM untuk projek Port Dickson Green Lung serta kajian sisa pepejal telah membuahkan hasil di dalam usaha kami dalam pemuliharaan biodiversiti dan ekonomi kitaran," katanya. - DagangNews.com