Petronas bakal isytihar dividen tambahan RM7 bilion, berjumlah RM25 bilion bagi FY21 | DagangNews Skip to main content

Petronas bakal isytihar dividen tambahan RM7 bilion, berjumlah RM25 bilion bagi FY21

 

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Petroliam Nasional Bhd (Petronas) bakal mengisytiharkan dividen tambahan sebanyak RM7 bilion, menjadikan dividen tahunan kepada RM25 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY21), berbanding anggaran awal RM18 bilion.

 

Dividen itu adalah hasil daripada pemulihan pendapatan bagi syarikat minyak negara itu, yang mencatat keuntungan bersih suku tahunan sebanyak RM9.6 bilion bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2021 (2QFY21), meningkat 3.3% berbanding RM9.29 bilion pada suku pertama.

 

Walaubagaimanapun, ia tetapi kemajuan yang cukup besar berbanding kerugian bersih sebanyak RM16.5 bilion yang dicatat pada suku yang sama, tahun lalu.

 

Prestasi lebih baik yang dicatatkan syarikat petroleum nasional itu adalah berikutan pendapatan lebih tinggi sebanyak RM57.1 bilion, melonjak 68% berbanding RM34 bilion yang dicatatkan pada suku kedua 2020.

 

Keputusan kewangan positif Petronas disokong harga purata direalisasi yang menguntungkan bagi produk utama dan jualan lebih tinggi dipacu kebanyakan jualan gas dan gas asli cecair (LNG).

 

Bagi suku dikaji, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) berada pada RM23.2 bilion, menokok RM14.1 bilion daripada RM9.1 bilion yang diraih pada suku kedua 2020.

 

Ia selaras dengan pendapatan lebih tinggi yang sebahagiannya diimbangi kos produk dan perbelanjaan operasi lebih tinggi.

 

Bagi tempoh separuh pertama tahun ini, keuntungan selepas cukai Petronas meningkat 100% kepada RM18.9 bilion berbanding kerugian selepas cukai RM16.5 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun lalu disokong EBITDA lebih tinggi dan kerugian rosot nilai yang rendah berikutan kenaikan harga.

 

 

petronas

 

 

Dari aspek perolehan, Petronas meraih pendapatan RM109.6 bilion bagi tempoh separuh pertama tahun ini, melonjak 17% berbanding RM93.6 bilion yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu.

 

EBITDA pula berada pada RM46.1 bilion, meningkat 57% daripada RM29.4 bilion, kebanyakan disumbangkan oleh pendapatan lebih tinggi dan perbelanjaan operasi lebih rendah.

 

Setakat 30 Jun 2021, aliran tunai daripada aktiviti operasi (CFFO) meningkat sebanyak 24% kepada RM32.7 bilion daripada RM26.3 bilion sebelumnya, terutama disebabkan keuntungan operasi tunai yang lebih tinggi.

 

Jumlah aset Petronas mengukuh kepada RM609.1 bilion setakat 30 Jun lalu, daripada RM574.1 bilion setakat 31 Disember 2020 disokong pelaburan dana dan tunai lebih tinggi.

 

Bagi tempoh separuh pertama 2021, ekuiti pemegang saham syarikat minyak negara itu meningkat kepada RM331.1 bilion daripada RM330.6 bilion setakat 31 Disember 2020.

 

Dalam tempoh sama, perbelanjaan modal Petronas berjumlah RM12.7 bilion, kebanyakan digunakan untuk projek huluan.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, prestasi kukuh syarikat itu disokong tindak balasnya dalam membolehkan kecemerlangan operasi berterusan dalam tempoh persekitaran pasaran yang baik pada separuh pertama tahun ini.

 

Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz
Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz

 

"Petronas dapat memanfaatkan rantaian nilai bersepadu dengan fokus lebih tinggi kepada kecemerlangan komersial, selain mengekalkan tahap kecairan sihat yang terbukti bermanfaat kepada kami.

 

"Di tengah-tengah prospek yang tidak menentu ini, kumpulan tetap teguh menyediakan penyelesaian menjimatkan kos dengan jejak karbon lebih rendah menerusi langkah memajukan teknologi dan agenda digitalisasi.

 

"Petronas akan terus maju dalam strategi pertumbuhan dengan pantas dan memperhebatkan usaha kelestarian untuk meneroka peluang baharu dalam peralihan tenaga," katanya.

 

Berhubung prospek perniagaan, Tengku Muhammad Taufik berkata, industri minyak dan gas menyaksikan pemulihan dalam harga serta permintaan minyak berikutan pembukaan semula ekonomi utama di seluruh dunia.

 

"Justeru, Petronas akan terus memberi tumpuan dalam memaksimumkan nilai dengan memanfaatkan rantaian nilai bersepadu kumpulan, meneroka peluang baharu dan mengurangkan ketidakpastian pasaran.

 

"Lembaga Pengarah menjangkakan prestasi kewangan tahun ini akan dipengaruhi oleh faktor berkenaan," katanya. - DagangNews.com