Petronas beli 15% kepentingan penyertaan dalam kontrak pengeluaran Blok Masela di Indonesia | DagangNews Skip to main content

Petronas beli 15% kepentingan penyertaan dalam kontrak pengeluaran Blok Masela di Indonesia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Julai - Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menerusi anak syarikatnya, Petronas Masela Sdn. Bhd. memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan Shell Upstream Overseas Services (I) Ltd untuk membeli 15% kepentingan penyertaan dalam kontrak perkongsian pengeluaran Blok Masela (Masela PSC) di Indonesia.

 

Pembelian itu merupakan sebahagian bidaan bersama Petronas Masela dengan PT Pertamina Hulu Energi (PHE), iaitu kedua-dua entiti ini akan membeli keseluruhan 35% kepentingan penyertaan Shell dalam Masela PSC.

 

Kedua-dua pihak telah menandatangani SPA berkaitan Blok Masela yang terletak di laut dalam Laut Arafura barat, Indonesia Timur hari ini.

 

Menurut Petronas, PHE akan membeli 20% kepentingan penyertaan manakala pengendali Blok Masela, Inpex Masela Ltd akan memegang baki 65% saham.

 

“Transaksi itu sedang diselesaikan tertakluk kepada kelulusan pihak kawal selia dan pemenuhan syarat duluan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pemeteraian perjanjian itu diadakan semasa Konvensyen dan Pameran Persatuan Petroleum Indonesia kali ke-47 di sini.

 

Petronas diwakili oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik dan Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (Hiliran) Datuk Adif Zulkifli, manakala Shell diwakili Pengarah Kewangan bagi Pembelian, Penjualan dan NBD Asia, Soo Kuo Tong.

 

Tengku Muhammad Taufik berkata, pengambilalihan itu adalah penting untuk pengembangan portfolio Petronas di Indonesia dan pihaknya teruja untuk menyertai Blok Masela yang merupakan salah satu projek strategik utama negara. 

 

Katanya, penyertaan itu menggariskan komitmen dalam menyokong sasaran pengeluaran Indonesia untuk mencapai satu juta tong minyak sehari dan 12 bilion kaki padu standard sehari gas menjelang 2030.

 

"Projek ini memberi peluang kepada Petronas untuk menyumbang kepakaran teknikal dalam pembangunan dan menjana pendapatan blok itu, dan akan mengukuhkan lagi portfolio LNG global kami ke arah memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk tenaga rendah karbon dari Indonesia dan seluruh rantau," katanya.

 

Petronas kini ialah rakan usaha sama dalam enam PSC yang terletak di darat dan luar pesisir di Sumatera, Laut Natuna, Jawa Timur, serta di Indonesia Timur.

 

Syarikat tenaga global ini juga ialah pengendali PSC Ketapang, PSC Ketapang Utara dan PSC Madura II Utara, yang terletak di luar pesisir di Jawa Timur. - DagangNews.com