Petronas berhasrat ‘tarik diri’ dari telaga minyak di Iraq? | DagangNews Skip to main content

Petronas berhasrat ‘tarik diri’ dari telaga minyak di Iraq?


KUALA LUMPUR 15 Okt. - Syarikat minyak dan gas nasional, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mempertimbangkan untuk keluar daripada telaga minyak Gharraf di selatan Iraq. 

Perkara itu dikongsi oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz yang menyatakan hasrat berkenaan dibuat ekoran kejatuhan harga minyak pada tahun ini.

“Dalam senario AS$40 satu tong, saya akan menjadi orang pertama yang mengaku bahawa di bawah semua penilaian dibuat, bakal mencetuskan pertimbangan sama ada untuk terus kekal di Gharraf.

 

Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz
Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz

 

“Kami sedang berunding dengan pihak berkuasa tuan rumah untuk melihat sekiranya ekonomi telaga minyak itu boleh ditambah baik, tetapi sudah tentu, lebih daripadanya, kami perlu memastikan terdapat kemampanan juga,” katanya menurut laporan Argus Media yang memetik kenyataan beliau pada 'Energy Intelligence Forum’.

Petronas mempunyai 45% pemegangan saham di Gharraf, Japex oleh Jepun (30%) dan North Oil di Iraq memiliki selebihnya.

Telaga minyak itu menghentikan sementara pengeluaran pada pertengahan Mac lalu akibat pandemik COVID-19 dan kembali beroperasi pada Julai pada kadar 50,000 tong sehari. 

“Jika kita boleh menjadikan telaga minyak itu lebih baik, bersih, kami akan meneruskannya,” tambah Tengku Muhammad Taufik.

Jelasnya, peranan Petronas sebagai penjaga sumber minyak dan gas Malaysia memerlukan syarikat itu untuk memastikan portfolionya teratur. 

Ini bermaksud, projek-projek yang dimiliki bukan sahaja perlu bertahan untuk jangka masa panjang dengan senario harga minyak AS$40 setong, malah perlu lebih bersih dan hijau (mesra alam sekitar) seiring harapan pihak berkepentingan dan pelanggan lain. 

Tengku Muhammad Taufik berkata, Petronas berhasrat untuk mencapai pelepasan sifar bersih tetapi tempoh masa itu masih lagi dalam perbincangan - DagangNews.com