Petronas Chemical capai keputusan pelaburan akhir bagi pengambilalihan kilang Maleic Anhydride di Gebeng | DagangNews Skip to main content

Petronas Chemical capai keputusan pelaburan akhir bagi pengambilalihan kilang Maleic Anhydride di Gebeng

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Jun - Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) berjaya mencapai keputusan pelaburan akhir (FID) bagi mengambil alih kilang Maleic Anhydride (MAn) yang mempunyai kapasiti 113 kilo-tan setahun (ktpa) bertempat di Gebeng, Kuantan daripada BASF PETRONAS Chemicals Sdn. Bhd. (BPC).

 

Kilang tersebut bakal meluaskan portfolio produk PCG bagi mengukuhkan lagi penawaran produk derivatif PCG. 

 

FID itu menandakan permulaan fasa pelaksanaan projek kilang tersebut bagi menaik taraf dan mempertingkatkan kemudahan untuk menghasilkan MAn yang diproses, yang dijangka siap menjelang separuh kedua 2025.

 

Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof berkata, FID untuk kilang MAn itu menandakan komitmen mereka yang kukuh ke arah mewujudkan peluang pertumbuhan baharu dengan mempelbagaikan jurusan derivatif dan bahan kimia khusus. 

 

Katanya, ia turut membolehkan mereka menghasilkan MAn untuk memenuhi permintaan yang meningkat daripada pelanggan di rantau Asia Pasifik dan India di samping menerokai peluang yang berpotensi dalam pasaran Eropah dan Asia Barat.

 

pcg
Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof

 

“Tambahan lagi, kilang itu membolehkan penyepaduan derivatif kimia khusus MAn dengan kedua-dua anak syarikat kami iaitu Perstorp dan BRB pada masa akan datang untuk memberikan penyelesaian inovatif dan juga kemungkinan usaha sama bersama pengeluar hiliran MAn yang lain di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

MAn digunakan sebagai bahan utama dalam pembuatan resin poliester tidak tepu, cat dan bahan perisa makanan. 

 

Sebelum ini, kilang itu yang diuruskan oleh BPC, syarikat usaha sama PCG dan kini akan dikendalikan oleh anak syarikat PCG, Petronas Chemicals MTBE Sdn. Bhd., berikutan penyelesaian pengambilalihan ini. - DagangNews.com