Petronas Chemical perluas inisiatif pengurusan sisa plastik ke Indonesia | DagangNews Skip to main content

Petronas Chemical perluas inisiatif pengurusan sisa plastik ke Indonesia

Petronas Chemicals mengembangkan program Be Green 2023 ke peringkat antarabangsa buat julung kalinya, bermula di Indonesia.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 5 Sept – Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) mengembangkan Be Green, program impak sosial utamanya ke peringkat antarabangsa buat julung kalinya, bermula di Indonesia dengan tujuan memberikan nilai tambahan kepada negara-negara di mana program ini berlangsung.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, kumpulan itu berkata inisiatif berkenaan diperluaskan untuk meningkatkan kesedaran bagi penggunaan dan pengendalian plastik yang betul menerusi pendidikan dalam kalangan komuniti tempatan berkenaan kepentingan pengurusan sisa yang bertanggungjawab.

 

Di samping itu, ia turut mendidik amalan 3R (Reduce, Reuse, Recycle) yang selaras dengan agenda Ekonomi Plastik Baharu (NPE) kumpulan tersebut dan strategi impak sosial, di samping menyumbang kepada peralihan global ke arah ekonomi pusingan.

 

Pengarah Urusan / Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof berkata pengembangan program Be Green melangkaui sempadan Malaysia ini adalah pencapaian membanggakan bagi PCG selaras dengan perjalanan kelestarian kumpulan.

 

 

Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof
Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof

 

 

“Melalui Be Green, kami merancang untuk berkongsi ilmu berkenaan plastik serta pengurusan sisa yang bertanggungjawab dengan masyarakat, selaras dengan agenda NPE di bawah PCG.

 

“Kami akan terus memupuk sikap yang positif dalam kalangan masyarakat melalui usaha-usaha kami, justeru melahirkan generasi yang mengamalkan gaya hidup lestari sebagai rutin harian,” ujar beliau.

 

Sebagai sebahagian daripada inisiatif Be Green di Indonesia, PCG berkata ia telah menjayakan sebuah sesi perkongsian maklumat yang interaktif di Universiti Indonesia, yang memberi tumpuan terhadap peralihan PCG ke arah ekonomi pusingan, program Be Green, serta modul pendidikan Plastik, Kelestarian dan Anda.

 

Melalui subsidiari PCG, PT PCM Kimia Indonesia, kumpulan itu telah menyumbangkan 20 tong kitar semula kepada pihak universiti tersebut untuk ditempatkan di sekeliling kampus, bagi memudahkan pelajar untuk mempraktikkan amalan 3R.

 

 

pcg be green

 

 

Di samping itu, PCG juga telah menganjurkan aktiviti ‘plogging’ di Jakarta, Indonesia sempena Hari Bebas Kereta di bandar tersebut yang mendapat sokongan daripada 100 orang peserta yang terdiri daripada Kedutaan Malaysia, rakan kongsi tempatan, pelajar Universiti Indonesia serta kakitangan PCG.

 

Sambutan menggalakkan itu telah menghasilkan sebanyak 150 kg sisa dikutip untuk pemprosesan dan kitar semula.

 

Sejak 2022, program Be Green telah diimplementasikan di 98 sekolah di serata Malaysia bersama modul Plastik, Kelestarian dan Anda (PSYE) dan telah mencapai lebih kurang 400,000 pihak berkepentingan, termasuk pelajar dan masyarakat.  - DagangNews.com