Petronas dijangka isytihar dividen lebih tinggi pada Q4, penganalisis kekal saranan 'overweight' bagi sektor O&G | DagangNews Skip to main content

Petronas dijangka isytihar dividen lebih tinggi pada Q4, penganalisis kekal saranan 'overweight' bagi sektor O&G

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 1 Dis - Firma-firma penyelidikan dalam nota kajian masing-masing mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor minyak dan gas (O&G) meskipun ia masih berdepan pelbagai cabaran terutama ketidaktentuan harga minyak mentah global ekoran tercetusnya varian baharu COVID-19, Omicron.

 

Ini berikutan keputusan kewangan Petronas yang diumumkan semalam, menyaksikan syarikat O&G negara itu merekodkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM16.3 bilion pada suku ketiga berakhir 30 September 2021, berbanding kerugian selepas cukai (LAT) RM3.4 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

 

Pendapatan syarikat minyak nasional itu turut meningkat 50% kepada RM61.8 bilion pada suku dikaji berbanding RM41.1 bilion pada suku sama tahun lalu.

 

Bagi tempoh 9 bulan pertama tahun ini (9M21), Petronas merekodkan PAT sebanyak RM35.2 bilion, peningkatan lebih 100% berbanding LAT RM19.9 bilion pada tempoh sama tahun lalu manakala pendapatan bertambah baik kepada RM171.4 bilion, meningkat 27% daripada RM134.7 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Dalam nota kajian hari ini, penganalisis AmInvestment Bank Research, Alex Goh menjangkakan Petronas akan mengisytiharkan bayaran dividen yang lebih tinggi pada suku keempat ini. 

 

"Memandangkan nisbah pembayaran 9M21 diterjemahkan kepada hanya 23%, kami menjangkakan pengumuman dividen yang lebih tinggi pada suku keempat ini akan menyaingi jumlah RM28 bilion yang diisytiharkan tahun lalu. 

 

"Sehingga kini, 33% daripada dividen pada suku keempat 2020 sebanyak RM18 bilion yang diisytiharkan pada 25 Februari lalu masih belum dibayar sepenuhnya," katanya. 

 

Petronas tidak mengisytiharkan sebarang dividen interim berikutan dividen interim pertama sebanyak RM7 bilion pada suku kedua 2021 berbanding dividen bagi tempoh 9M20 sebanyak RM10 bilion walaupun mencatatkan kerugian RM24 bilion pada FY20.

 

Menurut Goh, walaupun terhadap kelewatan dalam projek Limbayong atau kemungkinan bidaan semula, tetapi pelancaran kontrak bagi sektor O&G masih mengekalkan momentum kukuh. 

 

Katanya, ini terutamanya menerusi segmen dalam rantaian nilai yang berada dalam kedudukan lebih baik untuk mendapat manfaat daripada projek yang dibenarkan syarikat minyak negara. 

 

Antaranya, termasuklah subsektor kemudahan pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) yang mengalami kekurangan bilangan operator ketika kemelesetan sebelum ini pada 2015 hingga 2017.

 

"Oleh itu, kami melihat Dialog memiliki kelebihan dari segi kedudukan terminal tangki yang kukuh dan operasi berasaskan penyelenggaraan. 

 

"Yinson Holdings Bhd. pula baru-baru ini meraih kontrak FPSO daripada Parque das Beleias. Ia juga mempamerkan momentum pertumbuhan pendapatan yang mantap menerusi FPSO Helang, Sarawak, Abigail-Joseph (Nigeria) dan Anna Nery (Brazil), serta beberapa peluang di Brazil dan Afrika," jelasnya. 

 

Beliau turut mengekalkan anggaran harga minyak mentah Brent sekitar AS$70 hingga AS$75 setong bagi 2021-2022 setelah paras harga jatuh di bawah AS$80 setong ekoran meningkatnya kebimbangan mengenai varian Omicron boleh mengganggu permintaan global.

 

Sementara itu, penganalisis Kenanga Research, Steven Chan berkata, di sebalik prestasi kukuh Petronas, ia menunjukkan perbelanjaan modal (capex) yang masih kekal perlahan, dengan peruntukan setakat ini sebanyak RM20.4 bilion.

 

Pada jumlah itu, katanya, ia hampir separuh daripada panduan capex kumpulan bagi tahun kewangan 2021 (FY21) antara RM39 hingga RM40 bilion atau RM40 hingga RM45 bilion bagi tempoh 5 tahun akan datang (berbanding capex FY20 sebanyak RM33 bilion). 

 

Kumpulan sebelum ini mengaitkan kemajuan capex yang perlahan itu disebabkan kelewatan projek apabila kerajaan menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan untuk mengekang penularan wabak COVID-19.

 

"Bagaimanapun, apa yang kami dapati, pendapatan kukuh Petronas tidak mencerminkan pendapatan sektor korporat yang lebih baik, malah mengecewakan. 

 

"Ini dapat disimpulkan daripada musim kewangan baru-baru ini, yang mana 3 syarikat O&G iaitu Bumi Armada Bhd., Petronas Chemical Bhd. dan Dialog Group Bhd., masing-masing merekodkan laporan kewangan kurang memuaskan.

 

"Secara dasarnya, suku berkenaan bagi terkesan dengan kelewatan projek yang masih berterusan dan aliran masuk kontrak yang perlahan di tengah-tengah sekatan pergerakan," jelasnya.

 

Namun, Chan berkata, apabila sempadan dibuka semula secara berperingkat, ia akan menyaksikan 2022 sebagai tahun pemulihan dengan lebih banyak projek kembali beroperasi selepas terhenti dalam tempoh 2 tahun lalu.

 

"Kami juga, tidak terlalu khuatir dengan kelemahan harga minyak baru-baru ini, kerana kami percaya pada tahap semasa ia sudah lebih mencukupi untuk memacu pemulihan dalam aktiviti O&G.

 

"Oleh itu, setakat ini, kami mengekalkan unjuran harga minyak mentah Brent pada AS$65 setong pada 2022," katanya. -DagangNews.com