Petronas Gas dijangka untung RM10 juta setahun bekalkan gas asli kepada ND Paper Malaysia | DagangNews Skip to main content

Petronas Gas dijangka untung RM10 juta setahun bekalkan gas asli kepada ND Paper Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Jun - AmInvestement Bank Berhad menjangkakan projek membekalkan gas asli kepada loji pembuatan kertas milik ND Paper Malaysia akan memberi keuntungan selepas cukai antara RM9 hingga RM10 juta setahun selepas saluran paip dan stesen pemeteran gas asli ditauliahkan sepenuhnya pada 3QFY23.

 

Firma itu berkata, keuntungan itu adalah mengambil kira tempoh perbekalan selama 20 tahun, 9% kadar pulangan dalaman projek dan keuntungan 33% selepas margin cukai.

 

Katanya, projek berkenaan adalah pengembangan rangkaian pengangkutan gas sedia ada yang memanfaatkan rejim Akses Pihak Ketiga dalam pasaran gas domestik.

 

"Selepas mengambil kira tunai bersih kumpulan sebanyak RM179 juta pada 31 Mac 2022, kami menjangkakan kumpulan akan membiayai projek ini secara dalaman," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Petronas Gas beri kontrak RM92 juta kepada konsortium diketuai Carimin

 

Terdahulu, PetGas menganugerahkan kontrak RM92 juta untuk melaksanakan sambungan saluran paip gas kepada konsortium yang terdiri daripada Carimin Engineering Services Sdn Bhd dan Drill Pipelines Constructions Sdn Bhd.

 

Kerja itu melibatkan pembinaan kira-kira 10km saluran paip sisi dan stesen pemeteran untuk membekalkan gas asli kepada loji pembuatan kertas milik ND Paper Malaysia (Selangor), yang merupakan sebahagian daripada Nine Dragons Paper Ltd China.

 

China Nine Dragons yang tersenarai di Hong Kong ialah pengeluar papan kertas terbesar di Asia, dan juga mempunyai kemudahan pembuatan di Bentong, Pahang.

 

Secara keseluruhan, firma itu positif terhadap pemberian kontrak itu selain menjangkakan projek yang sama akan membantu meningkatkan pendapatan operasi pengangkutan gas dan mengukuhkan aliran pendapatan berulang untuk kumpulan itu.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar RM20.05 sesaham. - DagangNews.com