Petronas Gas rangkul Anugerah Platinum MiSHA OSHPoP 2023 | DagangNews Skip to main content

Petronas Gas rangkul Anugerah Platinum MiSHA OSHPoP 2023

Petronas Gas turut memenangi anugerah emas kecemerlangan MiSHA bagi pengurusan risiko OSH dalam sektor minyak dan gas 2023 pada Majlis Anugerah OSHPoP 2023 di ibu negara pada 10 Januari 2024.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Jan - Petronas Gas Bhd Segamat Operation Centre mengungguli anugerah utama, Anugerah Platinum MiSHA pada majlis Anugerah Kebangsaan Kecemerlangan Prinsip Pencegahan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHPoP) 2023 kategori M1 pada majlis tersebut pada 10 Januari.

 

Persatuan Keselamatan dan kesihatan Pekerjaan Malaysia (MiSHA) berkata, pemilihan tersebut berdasarkan amalan terbaik melalui prinsip-prinsip pencegahan dan kawalan risiko di tempat kerja dalam memastikan persekitaran kerja yang selamat. 

 

Katanya, antara yang dinilai adalah kaedah kawalan dan pengurusan risiko yang diterapkan di tempat kerja dan dianalisis secara sistematik mengikut prinsip-prinsip pencegahan. 

 

"Selain itu Anugerah Khas Srikandi 2023 turut diberikan kepada Nor’Afiza Saim yang melaksanakan inisiatif-inisiatif OSH yang inovatif di SIRIM," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Terdahulu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Kementerian Sumber Manusia, Bahruddin Mamat merasmikan majlis anugerah tersebut.

 

Sebanyak 77 kategori dipertandingkan pada malam tersebut mewakili sektor keselamatan dan sebanyak 60 syarikat dikenal pasti. Namun, hanya 30 syarikat disenarai pendek dan berjaya layak ke peringkat seterusnya setelah memenuhi kriteria penilaian yang ditetapkan. 

 

Antaranya ialah, Gamuda Bhd, Petronas Gas, UMW Your Premier Association Corporation, Canon Marketing (M) Sdn Bhd dan sebagainya.

 

 

misha

 

 

 

Bahruddin berkata, anugerah itu merupakan pengiktirafan kepada organisasi dan individu yang telah menunjukkan komitmen yang tinggi serta prestasi cemerlang di dalam perlaksanaan pencegahan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. 

 

"Prinsip pencegahan ini menjadi tunjang utama dalam membentuk landskap industri dan melalui anugerah ini, kami memberikan penghormatan kepada wira-wira yang tidak kenal lelah berjuang demi keamanan dan kesejahteraan di tempat kerja," katanya.

 

Pengerusi OSHPoP 2023, Abd Mutalib Abd Gapar pula berkata, objektif anugerah itu dianjurkan adalah bertujuan untuk memberi penghargaan kepada syarikat-syarikat yang terlibat bagi memperkuatkan lagi imej dan reputasi syarikat mereka berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. 

 

Katanya, penganjuran kali ini melibatkan kerjasama buat julung-julung kalinya antara MiSHA dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam. 

 

"Bukan sahaja untuk membina jalinan hubungan strategik, malah menjadi platform terbaik buat para pelajar tahun akhir perhubungan awam UiTM Shah Alam untuk menguruskan projek berskala besar dan merasai sendiri pengalaman bekerja dalam bidang pengurusan acara dan perhubungan awam. Hal ini sekali gus dapat mempersiapkan mereka menempuh ke alam pekerjaan," katanya. - DagangNews.com