Petronas harus utamakan syarikat layak dengan keupayaan tempatan, kata MOGSC | DagangNews Skip to main content

Petronas harus utamakan syarikat layak dengan keupayaan tempatan, kata MOGSC

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 2 April - Majlis Perkhidmatan Minyak, Gas & Tenaga Malaysia (MOGSC) berkata Petronas harus mengutamakan pemberian kontrak kepada syarikat yang layak dengan keupayaan tempatan untuk memastikan keseluruhan ekosistem di Malaysia mendapat keuntungan daripada anugerah kontrak, mewujudkan kesan berganda yang memberi manfaat kepada negara.

 

MOGSC menggesa Petronas supaya menyelaraskan semula ekosistem perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) melalui pelesenan dan pendaftarannya, dan memastikan syarikat yang telah memperoleh rekod prestasi munasabah dan melabur dalam segmen itu diberi pertimbangan sewajarnya.

 

"Ini adalah inisiatif berterusan dan kami mengikuti secara konsisten," kata MOGSC dalam kenyataan di sini.

mogsc

MOGSC turut menggesa Petronas untuk menggalakkan konsortium atau perkongsian dengan entiti asing supaya diberikan sebarang kontrak yang di luar kemampuan syarikat tempatan agar syarikat tempatan boleh mendapat manfaat daripada pemindahan teknologi dan memperoleh kepakaran serta pengalaman yang diperlukan.

 

MOGSC berkata segmen OGSE di Malaysia mempunyai rekod prestasi selama 50 tahun dalam menyokong Petronas dalam pembinaan negara melalui industri minyak dan gas.

 

“Kami telah membina ekosistem yang berdaya tahan, berdaya saing dan mampan yang akan terus menyokong Petronas untuk bergerak ke hadapan sambil mengemudi agenda peralihan tenaganya.

 

“Adalah penting bagi Petronas untuk terus memupuk kapasiti dan keupayaan untuk memastikan pemain OGSE tempatan berkembang maju di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya. - DagangNews.com