Petronas kukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab tangki ISO LNG | DagangNews Skip to main content

Petronas kukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab tangki ISO LNG

Kemudahan pengisian tangki ISO Petronas di Pengerang, mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab eksport tangki ISO LNG.  - Gambar Petronas

 

 

KUALA LUMPUR 26 April - Petronas LNG Ltd. telah memulakan eksport gas asli cecair (LNG) ke China menerusi tangki ISO dari kemudahan pengisiannya Pengerang, Johor.

 

Penghantaran sulung tangki ISO LNG ini selamat tiba di Shanghai dari Pelabuhan Pasir Gudang, Johor pada 23 April lalu berikutan kontrak yang ditandatangani antara Petronas dan Tiger Gas (Hong Kong) Ltd., syarikat bersekutu, Tiger Clean Energy Limited (TCEL). 

 

Naib Presiden Pemasaran dan Perdagangan LNG, Shamsairi M Ibrahim berkata, eksport LNG menerusi tangki ISO dari Semenanjung Malaysia ini adalah penyelesaian inovatif yang membolehkan LNG mencapai jangkauan pelanggan yang lebih luas. 

 

Tambahnya, ia bukan sahaja di peringkat domestik tetapi juga pelanggan di peringkat antarabangsa. 

 

"Ini juga secara tidak langsung memperluaskan jangkauan sistem saluran paip maya kami yang bermula sejak akhir tahun lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Tahun lalu, Petronas dan TCEL menandatangani perjanjian jual beli jangka masa panjang bagi bekalan LNG kepada tangki ISO LNG TCEL kemudahan pengisian di Bintulu, Sarawak.

 

Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, Petronas LNG akan mengedarkannya ke China menggunakan tangki ISO TCEL, dengan penghantara pertama dari Pelabuhan Bintulu ke Pelabuhan Long Kou pada 25 Mac 2021. 

 

Menurut Shamsairi, ia membuktikan komitmen Petronas sebagai rakan kerjasama penyelesaian tenaga yang progresif dalam mengurangkan penggunaan karbon kepada para pelanggan sedia ada dan akan datang.

 

Dengan beroperasinya kemudahan pengisian tangki ISO Petronas di Pengerang, Malaysia kini bersedia mengukuhkan kedudukan sebagai hab eksport tangki ISO LNG, dengan kemudahan pengisian di timur dan barat Malaysia sekali gus menyediakan para pelanggan dengan penyelesaian LNG alternatif dan boleh dipercayai. - DagangNews.com