KUALA LUMPUR 25 Mac - Petronas menafikan pihaknya sedang berunding dengan kerajaan mengenai cadangan mengambil alih Sapura Energy Bhd., ekoran beberapa laporan media baru-baru ini.
Ia tercetus sejak awal minggu ini apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa kerajaan supaya segera membantu Sapura Energy menyelesaikan masalah aliran tunai demi memelihara kepentingan strategik negara.
Sehubungan itu, Petronas dalam kenyataannya hari ini menafikan sepenuhnya laporan dan spekulasi tersebut.
"Kumpulan sentiasa dan akan terus dipandu dengan ketat oleh rangka kerja yang telah ditetapkan untuk sebarang pertimbangan pelaburan atau pelupusan.
"Malah, Petronas sekali lagi ingin menekankan ia kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan peserta minyak dan gas, memanfaatkan kepakaran dan keupayaan mereka apabila aktiviti meningkat dan industri pulih daripada kesan pandemik COVID-19," katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan bagi merujuk kepada laporan berita, komen dalam media dan spekulasi mengenai 'perbincangan dengan kerajaan mengenai cadangan untuk mengambil kepentingan utama' dalam Sapura Energy.
Menerusi hantara di Facebooknya, Najib menyarankan supaya kerajaan memberi pinjaman faedah mudah atau jaminan pinjaman kepada Sapura Energy bagi menyelesaikan masalah aliran tunai seperti dilakukan Barisan Nasional (BN) untuk menyelamatkan Proton.
Susulan itu, beliau turut mencadangkan kerajaan mengarahkan Petronas atau Khazanah Nasional Bhd. mengambil pemilikan Sapura Energy daripada Permodalan Nasional Bhd. (PNB) yang mempunyai 40% pegangan dalam syarikat tersebut.
Ini kerana, menurutnya, Petronas masih memerlukan perkhidmatan Sapura Energy bagi projek mereka serta lebih memahami sektor ini.
Sapura Energy yang kini bergelut dengan masalah kewangan menyaksikan kerugian bersihnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2022 (FY22) mencapai paras tertinggi setakat ini kepada RM8.9 bilion, berbanding kerugian bersih berjumlah RM160.87 juta.
Malah, pendapatan juga susut 22.8% kepada RM4.13 bilion daripada RM5.35 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Dalam kenyataan 10 Mac lalu, PNB menjelaskan pendedahannya dalam syarikat minyak dan gas itu adalah kurang 1% daripada aset di bawah pengurusannya (AUM) dan situasi yang dialami Sapura Energy hanya memberi kesan minimum terhadap portfolionya. - DagangNews.com