Petronas, PNB dan TNB ungguli syarikat terbaik LinkedIn | DagangNews Skip to main content

Petronas, PNB dan TNB ungguli syarikat terbaik LinkedIn

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 April - Petroliam Nasional Berhad (Petronas), diikuti oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengungguli 15 senarai syarikat terbaik 2021 untuk pekerja profesional mengembangkan karier mereka. 

 

Ini merupakan dapatan yang diumumkan platform rangkaian profesional terbesar dunia, LinkedIn menerusi senarai ‘2021 LinkedIn Top Companies’ di Malaysia.

 

Sebagai rekod, ini merupakan senarai pertama yang diterbitkan di negara ini.

 

Editor Berita Kanan di LinkedIn Asia Pasifik,

berkata, tahun lalu mendatangkan cabaran yang luar biasa dan kaedah senarai syarikat terbaik tersebut mengambil kira aspek-aspek berkenaan. 

 

“Ini membantu kami menemui syarikat-syarikat yang melabur di dalam pertumbuhan pekerjanya, ketika kita mengharungi perubahan dunia pekerjaan akibat pandemik global. 

 

“Kami telah menemui syarikat-syarikat terbaik yang mengutamakan pekerja terlebih dahulu dengan melaksanakan pelbagai dasar berhubung kesejahteraan dan kesihatan mental, serta membantu mereka ‘bangkit’ semula menerusi program latihan dan pembangunan. 

 

“Bagi mereka yang mencari peluang pekerjaan seterusnya, banyak syarikat di dalam senarai ini menawarkan pekerjaan, lebih daripada 45,000 jawatan dibuka,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini. 

 

Selepas ketiga-tiga syarikat berkenaan, AIA menduduki tangga keempat, diikuti oleh Telekom Malaysia Berhad (TM), Accenture, Malayan Banking Berhad (Maybank), OCBC Bank, PwC, Standard Chartered Bank, EY, Axiata Group Berhad, Prudential Plc, Intel Corporation dan Hong Leong Bank Berhad.

 

top list linkedin

 

Tambah LinkedIn, kesemua senarai tersebut didominasi oleh syarikat yang mempunyai produk serta perkhidmatannya membantu kehidupan individu lebih baik ketika pandemik serta merentasi sektor perbankan, perakaunan, perkhidmatan kewangan hingga telekomunikasi. 

 

Jelas platform itu, kesemua syarikat berkenaan juga melabur di dalam kejayaan pekerja, pembangunan karier, ekuiti dan keterangkuman.

 

Antara trend utama yang ditonjolkan oleh syarikat-syarikat tersebut adalah, kebanyakan daripadanya mengutamakan bakat untuk memenuhi keperluan pekerjaan semasa dan akan datang. 

 

Dalam pada itu, mereka juga menyokong tenaga kerja ketika waktu sukar di mana didominasi oleh sektor perbankan, perakaunan dan perkhidmatan kewangan.

 

Seterusnya, kebanyakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengambil pekerja dalam industri dan jawatan yang berbeza. - DagangNews.com