Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 10 Mac - Petroliam Nasional Berhad (Petronas) berjaya menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat-syarikat tenaga di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) dan Masdar.
Kedua-dua MoU itu melibatkan kolaborasi di seluruh rantaian nilai tenaga.
Kerjasama antara Petronas dan ADNOC merangkumi keseluruhan rantaian nilai minyak dan gas di mana syarikat UAE itu mengalu-alukan untuk merebut peluang dalam penerokaan, pengembangan, dan pengeluaran sumber-sumber konvensional dan bukan konvensional yang penting di Abu Dhabi.
Menurut Petronas dalam sebuah kenyataan, skop kerjasama itu meliputi potensi penyelidikan dan pembangunan (R&D) selain kerjasama teknologi gunaan dalam peningkatan pemulihan hidrokarbon, penangkapan karbon, penggunaan dan penyimpanan, kelestarian gas, bahan kimia khusus, teknologi sumber daya tidak konvensional dan hidrogen.
Bagi sektor hiliran pula, Petronas menjelaskan bahawa kedua-dua pihak akan meneroka kerjasama dalam perdagangan termasuk bekalan minyak mentah dan stok suapan selain pengambilan produk bertapis.
Menurut kumpulan syarikat itu, kedua-dua organisasi itu juga akan menilai peluang domestik serta antarabangsa untuk memaksimumkan penciptaan nilai di rantaian berkenaan.
Potensi lain juga dilihat dalam pengisian bahan bakar dan menyokong kapal bunker gas asli cecair (LNG) di pelabuhan UAE dan wilayah tersebut, tambah Petronas.
MoU itu ditandatangani antara Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dan Menteri Industri dan Teknologi Maju serta Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ADNOC, Dr. Sultan Ahmed Al Jaber.
Perbincangan antara kedua-dua pihak bermula apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat melawat selama lima hari ke UAE pada Disember 2020 atas jemputan Putera Mahkota UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.
Petronas berkata, hasil daripada lawatan itu menandakan tonggak penting dalam hubungan dua hala Malaysia dan UAE.
Jelas Tengku Taufik, Petronas percaya kerjasama dengan ADNOC membuktikan visi bersama kedua-dua organisasi untuk mengejar penciptaan nilai melalui penyelesaian tenaga yang progresif dan lebih bersih ketika global berdepan cabaran peralihan tenaga yang pantas.
“Kami berharap dapat bekerjasama dengan ADNOC untuk memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat dengan cara yang bertanggungjawab dan berterusan,” katanya dalam kenyataan sama.
Sementara itu, Dr. Al Jaber pula berbesar hati untuk buat pertama kalinya menjalinkan kerjasama dengan Petronas menerusi perjanjian kerangka penting berkenaan.
“Perjanjian ini merupakan evolusi semula jadi hubungan kuat antara UAE dan Malaysia serta memberi peluang untuk mengeratkan lagi hubungan melalui kerjasama tenaga strategik.
“Perjanjian ini menawarkan potensi peluang menarik bagi kedua-dua syarikat untuk membuka dan mencipta nilai di seluruh rantaian nilai minyak dan gas ketika kita membentuk perniagaan ke arah ekonomi pasca COVID-19,” katanya.
Dalam pada itu, MoU Petronas dan peneraju tenaga boleh diperbaharui global, Masdar pula bakal menyaksikan kedua-dua pihak membentuk akses yang meluas kepada penyelesaian tenaga bersih.
Sepenuhnya dimiliki oleh Mubadala Investment Company, Masdar akan bekerjasama dengan Petronas dalam pelaksanaan projek-projek tenaga bersih di seluruh Asia dan Timur Tengah, meliputi tenaga boleh diperbaharui dan hidrogen hijau.
MoU itu telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Masdar, Mohamed Jameel Al Ramahi serta Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Power Sdn. Bhd. dan Ketua Tenaga Diperbaharui Petronas, Dr. Jason Mariyappan.
Menurut Petronas, kolaborasi dengan Masdar akan melengkapkan porfolio pertumbuhan tenaga boleh diperbaharuinya di bawah Petronas New Energy yang kini memiliki lebih 1GW kapasiti solar dalam operasi dan pembangunan di India serta Asia Tenggara.
Mohamed Jameel berkata, perjanjian itu menandakan langkah penting dalam perjalanan Masdar untuk memperluas kehadiran mereka di pasaran Asia yang dilihat mempunyai potensi luar biasa ekoran pertumbuhan ekonomi pesat. - DagangNews.com