Petronas tandatangani perjanjian memperakui tapak penyimpanan CO2 bagi projek CCS tempatan | DagangNews Skip to main content

Petronas tandatangani perjanjian memperakui tapak penyimpanan CO2 bagi projek CCS tempatan

oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 7 Jun - Petronas memeterai perjanjian harga induk bagi pensijilan tapak penyimpanan karbon dioksida (CO2) dan kemudahan berkaitan bagi projek penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) di Malaysia.

 

Menurut kenyataan Petronas, perjanjian itu ditandatangani antara anak syarikat milik penuhnya, Petronas CCS Ventures Sdn Bhd dan DNV, pakar bebas dalam pengurusan risiko dan jaminan.

 

“Petronas CCS Ventures berbesar hati untuk bergabung dengan DNV dan memulakan satu lagi perjalanan ke arah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab terkemuka untuk CCS di Asia Tenggara,” kata ketua pegawai eksekutif Petronas CCS Ventures, Emry Hisham Yusoff.

 

 

petronas
Emry Hisham Yusoff (kiri) semasa memeterai MoU dengan DNV pada 2022

 

 

“Perjanjian ini menandakan dedikasi Petronas CCS Ventures dalam memastikan pembangunan CCS kami memenuhi piawaian antarabangsa, sambil kami memanfaatkan sumber strategik dan kepakaran kami untuk memacu perubahan bermakna dalam landskap tenaga rantau ini,” tambahnya.

 

Perjanjian itu adalah susulan memorandum persefahaman yang ditandatangani antara Petronas dan DNV pada 2022, di mana kumpulan kerja strategik meneroka topik yang berkaitan dengan CCS.

 

Petronas berkata ia komited untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, dan telah menetapkan sasaran pertumbuhan untuk penyelesaian tenaga yang lebih bersih, termasuk CCS.

 

Kemajuan besar telah pun dicapai, dengan projek Kasawari CCS sedang dalam pembinaan, beberapa hab CCS dalam pembangunan, dan perjanjian antarabangsa utama telah diumumkan, tambah syarikat minyak dan gas negara itu. - DagangNews.com