Petronas tawar 10 blok penerokaan di bawah MBR 2023 | DagangNews Skip to main content

Petronas tawar 10 blok penerokaan di bawah MBR 2023

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 15 Feb - Petronas melancarkan Pusingan Bidaan Malaysia (MBR) 2023 bertemakan 'Memenangi Peralihan Tenaga dengan Tenaga Berfaedah Kami', menawarkan 10 blok penerokaan dan dua kelompok Peluang Sumber Ditemui (DRO).

 

Acara tahunan yang dilancarkan pada hari ini disertai oleh lebih 50 syarikat minyak dan gas serta agensi kerajaan, pakar perdagangan asing dan perunding pasaran tenaga serta disiarkan secara langsung untuk bakal rakan kongsi di seluruh dunia.

 

Kesemua 10 blok penerokaan yang ditawarkan terletak di dalam lembangan Melayu, Sabah dan Sarawak serta lembangan Penyu yang baru dibuka. 

 

Blok ini meliputi pelbagai latar geologi dengan prospek yang besar untuk diterokai, memberi peluang kepada pelabur dalam mencari 'tenaga bermanfaat' iaitu tenaga pada kos rendah dan tenaga karbon rendah.

 

Turut ditawarkan adalah gugusan DRO Chenang di luar pantai Semenanjung Malaysia dan gugusan DRO Bambazon di luar pantai Sabah. 

 

Gugusan cetek ini terletak berhampiran dengan hab pengeluaran sedia ada yang akan membolehkan pengewangan lebih pantas.

 

 

Datuk Adif Zulkifli (kiri) dan Mohamed Firouz Asnan pada majlis pelancaran rasmi MBR 2023.
Datuk Adif Zulkifli (kiri) dan Mohamed Firouz Asnan pada majlis pelancaran rasmi MBR 2023.

 

 

Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) Petronas, Mohamed Firouz Asnan berkata, syarikat itu terus membentuk strategi penerokaan dan pembangunan untuk membuka potensi penuh sektor penerokaan dan pengeluaran (E&P) Malaysia dengan mempromosi pelaburan di kawasan bertumpu bagi menyampaikan ‘tenaga bermanfaat’ yang diperlukan oleh pelanggan.

 

“Kami terus menyediakan peluang kepada syarikat yang mempunyai keupayaan tersendiri yang disertakan dengan syarat fiskal yang betul untuk memaksimumkan pulangan pemegang saham untuk kedua-dua pihak berkuasa dan pelabur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Bilik data maya MBR 2023 akan dibuka mulai hari ini sehingga penyerahan tarikh akhir bidaan pada 15 September 2023.

 

Petronas turut menandatangani Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) untuk sembilan blok penerokaan di bawah MBR 2022 dengan pembida yang menang terdiri daripada empat pelabur sedia ada dan empat pelabur baharu. 

 

Sembilan blok itu dijangka menyaksikan pelaburan berjumlah RM1.7 bilion dalam modal penggerudian penerokaan, khususnya di kawasan perairan dalam dan formasi yang kurang diterokai.

 

Mengulas mengenai pemeteraian PSC, Firouz berkata, ia merupakan jumlah tertinggi dianugerahkan di Malaysia dalam tempoh setahun sejak 2010.

 

Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan kerjasama PSC yang baru ditandatangani dalam menemui molekul baharu agar bersama-sama kami akan berkembang dan mencipta nilai secara mampan,” tambahnya. -DagangNews.com