Petronas temui gas dari telaga Hadrah-1 di Balingian | DagangNews Skip to main content

Petronas temui gas dari telaga Hadrah-1 di Balingian

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 7 Jan - Petronas mengumumkan penemuan gas dari telaga penerokaan wildcat Hadrah-1 Blok SK411, yang terletak di perairan cetek Wilayah Balingian kira-kira 170 kilometer barat laut dari pesisir Sarawak.

 

Telaga Hadrah-1 telah berjaya digerudi sehingga kedalaman 1,850 meter pada November tahun lalu.

 

Gas itu ditemui dalam jujukan tebal batu pasir dan takungan karbonat berkualiti tinggi setebal kira-kira 200 meter.

 

Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) yang mengendali blok itu, memiliki 90 peratus pegangan dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran, manakala baki 10 peratus lagi dipegang E&P Malaysia Venture Sdn. Bhd.

 

Dalam kenyataan hari ini, Naib Presiden Eksplorasi (Huluan) Petronas, Emeliana Rice-Oxley berkata, penemuan gas di Hadrah-1 membuktikan lagi prospektiviti dalam kitaran I, II dan III yang belum diterokai di wilayah Balingian.

 

“Kualiti takungan cemerlang yang ditemui menandakan potensi yang masih ada di kawasan sekitar, dengan PCSB berada pada kedudukan yang baik untuk meneruskan usaha yang belum diterokai dalam Blok SK411 dan SK306. 

 

"Kami berharap untuk menyampaikan lebih banyak gas asli, bahan api fosil terbersih dan selamat serta boleh dipercayai kepada pasaran,” katanya.

 

Hadrah-1 adalah penemuan gas ketiga Petronas di wilayah ini pada tahun lepas, selepas Sirung-1 dan Kulintang-1 masing-masing pada bulan Mac dan Mei. 

 

Dua tahun lalu, minyak dan gas juga ditemui dalam kawasan sama di padang D18. - DagangNews.com