Pharmaniaga bekalkan 6 juta lagi dos vaksin COVID-19 kepada kerajaan | DagangNews Skip to main content

Pharmaniaga bekalkan 6 juta lagi dos vaksin COVID-19 kepada kerajaan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Pharmaniaga Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd (PLS) bakal membekalkan 6 juta dos vaksin COVID-19 tambahan yang siap diisi dan dibotolkan serta yang dikeluarkan oleh Sinovac in China kepada kerajaan.

 

Ini selepas Pharmaniaga dan Kementerian Kesihatan (KKM) telah memeterai Surat Setuju Terima (Tambahan) Perolehan Pembekalan COVID-19 Coronavac Suspension (Vaksin COVID-19) atau SST yang berkuatkuasa 11 Ogos 2021 sehingga penghantaran terakhir vaksin berkenaan.

 

Menurut makluman Pharmaniaga di Bursa Malaysia, kedua-dua pihak bersetuju untuk melaksanakan Perjanjian Tambahan bagi membolehkan PLS menjual, membekalkan dan menghantar jumlah dos vaksin yang diminta. 

 

“KKM akan bertanggungjawab ke atas penentuan kuantiti, lokasi kemudahan dan tarikh produk itu akan dihantar di bawah SST.

 

“SST akan mendatangkan impak ke atas perolehan dan perolehan sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021,” jelas Pharmaniaga.

 

Dalam masa sama, perjanjian itu juga dijangka memberi impak ke atas aset bersih, aset bersih sesaham dan penggearan kumpulan bagi tahun kewangan sama.

 

Sebelum ini, Pharmaniaga Berhad telah selesai membekalkan 12 juta dos vaksin Sinovac kepada Malaysia untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

 

Setakat 2.15 petang, harga saham Pharmaniaga menokok 1 sen kepada RM87.5 sen. - DagangNews.com