Pharmaniaga mampu tubuhkan kilang pembuatan vaksin halal pertama, HLIB kekal saranan 'beli' | DagangNews Skip to main content

Pharmaniaga mampu tubuhkan kilang pembuatan vaksin halal pertama, HLIB kekal saranan 'beli'

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 2 Nov - Kerjasama Pharmaniaga Bhd. dan Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM) menjadi petanda baik bagi syarikat farmaseutikal itu untuk menubuhkan kilang pembuatan vaksin halal pertama di dunia dan juga membantu dalam membangunkan vaksin pertama negara.

 

Ini membolehkan Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham Pharmaniaga dengan harga sasaran pada RM1.13.

 

"Kami positif terhadap kerjasama ini kerana ia dilihat sejajar dengan perancangan kerajaan untuk menjadikan negara sebagai hab pengeluaran vaksin pada masa hadapan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Firma itu bagaimanapun tidak membuat perubahan bagi unjuran pendapatan memandangkan ia menjangkakan tiada sumbangan daripada kerjasama ini dalam tempoh terdekat.

 

 

Baca : Pharmaniaga bekerjasama dengan NIBM, jalankan R&D vaksin

 


Semalam dalam makluman di Bursa Malaysia, Pharmaniaga berkata, kerjasama itu termasuklah dari segi penyediaan perkhidmatan teknikal, perindustrian dan input pihak berkepentingan serta mana-mana kerjasama yang dipersetujui oleh pihak-pihak berkenaan.

 

Malah, ia juga akan menjadi platform bagi Pharmaniaga untuk mengukuhkan perniagaan vaksinnya.

 

Sebelum ini, Pharmaniaga bercadang untuk menghasilkan vaksin halalnya sendiri dalam masa 4 tahun dan kerjasamanya dengan Institut Serum India (SERUM) juga melibatkan pemindahan teknologi yang boleh membantu pertumbuhan kumpulan dan industri bioteknologi di Malaysia. 

 

Menurut HLIB, kedudukan Pharmaniaga dilihat kukuh terutama dengan vaksinasi dalam kalangan remaja di Malaysia dan potensi penggunaan vaksin Sinovac sebagai dos penggalak.

 

"Selain itu, terdapat kemungkinan Sinovac akan digunakan untuk vaksinasi kanak-kanak berumur antara 5 hingga 12 tahun dan juga vaksin Sinovac berpotensi untuk dieksport ke negara-negara lain," katanya. - DagangNews.com