Pharmaniaga serah pelan penyelarasan kepada Bursa Malaysia pada suku ketiga 2023 | DagangNews Skip to main content

Pharmaniaga serah pelan penyelarasan kepada Bursa Malaysia pada suku ketiga 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Pharmaniaga Berhad akan menyerahkan pelan penyelarasan syarikat kepada Bursa Malaysia pada suku ketiga tahun ini sebagai usaha untuk keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17).

 

Kumpulan itu berkata, inisiatif itu akan dimuktamadkan menjelang suku pertama 2024 dan pada masa sama mereka akan terus memperhalusi inisiatif kewangan strategiknya bagi mengkuhkan daya tahan kewangannya.

 

"Kami sedang mengambil tindakan tegas dengan melaksanakan inisiatif disiplin fiskal yang ketat ke atas seluruh operasi dan pelaburan sebagai sebahagian daripada pelan pemulihan komprehensif.

 

"Yang penting dalam usaha ini kami akan mengukuhkan tadbir urus dan proses dalaman untuk memastikan ketelusan dalam semua aktiviti perniagaan.

 

"Pada masa yang sama, kumpulan itu sedang memulakan semakan menyeluruh mengenai kedudukannya dalam setiap segmen dan mengatasi sebarang masalah secara menyeluruh," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Pharmaniaga diklasifikasikan sebagai syarikat PN17 pada Februari tahun ini selepas mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM664.39 juta pada suku keempat FY22 dan perlu membuat peruntukan sebanyak RM552.3 juta untuk stok vaksin Covid-19 yang tidak terjual.

 

Sementara itu, bagi separuh pertama berakhir 30 Jun (1HFY23), untung bersih Pharmaniaga turun 83.8% kepada RM4.61 juta daripada RM28.46 juta tahun sebelumnya.

 

Ia dipengaruhi oleh perbelanjaan mengurus yang lebih tinggi serta kos pelunasan yang lebih tinggi untuk hak-hak- digunakan untuk tiga gudang baharu, serta kos kewangan yang lebih tinggi disebabkan peningkatan pinjaman.

 

"Walaupun hasil 1HFY23 meningkat sedikit sebanyak 0.34% kepada RM1.73 bilion daripada RM1.72 bilion pada 1HFY22, disumbangkan oleh perniagaan bukan konsesinya," katanya.

 

Keuntungan bersih kumpulan bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2023 (2QFY23) susut 25.94% daripada RM2.65 juta berbanding 1QFY23 akibat sumbangan yang lebih rendah daripada perniagaan konsesinya dengan Kementerian Kesihatan (KKM) semasa musim perayaan. - DagangNews.com