KUALA LUMPUR 16 Dis - Pheim Unit Trusts Bhd (Pheim) telah melancarkan tiga produk Islam baharu iaitu Pheim Greater China Islamic Fund (PGCIF), Pheim ASEAN Islamic Fund (PAIF) dan Pheim Global ESG Islamic Fund (PGEIF).
Pheim dalam kenyataan hari ini berkata PGCIF menyasarkan untuk mencapai peningkatan modal melalui pelaburan terutamanya di pasaran China, Hong Kong dan Taiwan berdasarkan prinsip Syariah.
“Transformasi ekonomi dan industri di rantau Asia Timur kekal menyaksikan pertumbuhan eksponen yang dipacu gabungan kemajuan teknologi, kecekapan buruh dan penglibatan kerajaan.
“Peneraju dalam kalangan rantau ini ialah China yang telah mempercepat responsnya terhadap kemajuan pendigitalan dan automasi yang semakin menjadi tumpuan pelabur asing,” katanya.
Sementara itu, PAIF diwujudkan untuk meraih peningkatan modal dan bersesuaian kepada pelabur yang menyasarkan pendedahan pelaburan di rantau ASEAN yang mencatatkan pertumbuhan tinggi.
“Negara-negara di rantau ini merupakan penerima manfaat yang utama daripada rantaian bekalan dan penempatan semula pembuatan ekoran perdagangan ASChina dan ketegangan geopolitik yang berlanjutan,” menurut Pheim.
Komuniti pelaburan itu percaya bahawa pelaburan yang bertanggungjawab akan memberikan manfaat kepada dunia untuk jangka panjang.
Justeru, ia yakin PGEIF akan memanfaatkan masyarakat dan menawarkan pulangan yang berpatutan kepada pelabur dalam jangka panjang.
Menurutnya pelaburan masa depan akan menyatukan risiko dan peluang kewangan jangka panjang terhadap proses mereka untuk membuat keputusan pelaburan demi menjana pulangan kewangan yang mampan dan jangka panjang.
“Kini, Pheim telah mencipta rekod prestasi jangka panjang dan membuktikan kemampuannya mencatatkan penanda aras lebih baik secara konsisten dalam jangka panjang.
''Kami cukup yakin, sekali gus memutuskan untuk bersedia melancarkan tiga dana Islam baharu bagi membantu pelabur mempelbagaikan aset dan meningkatkan kekayaan,” katanya. - DagangNews.com