PIDM anjur Simposium Resolusi Kebangsaan buat julung kali bagi bincangkan rumusan kegagalan institusi kewangan | DagangNews Skip to main content

PIDM anjur Simposium Resolusi Kebangsaan buat julung kali bagi bincangkan rumusan kegagalan institusi kewangan

Rafiz Azuan Abdullah
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 Okt - Seramai 300 pemimpin pengurusan kanan daripada pelbagai institusi kewangan di Malaysia menghadiri Simposium Resolusi Kebangsaan (National Resolution Symposium – NRS) anjuran Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) buat julung kali.

 

Penganjuran itu bagi menghimpunkan pakar kawal selia dan pengamal dari pelbagai negara untuk saling berkongsi dan bertukar pandangan dalam mengurus atau menyelesaikan kegagalan institusi kewangan, dan bagaimana mengharungi ketidakpastian. 

 

NRS menekankan kepentingan perancangan resolusi ketika beroperasi seperti biasa (keadaan baik) untuk memastikan pelaksanaan resolusi yang teratur, dapat meminimumkan kos dan gangguan, serta mampu menguruskan institusi ahli yang bermasalah dengan efektif.

 

Ketua Pegawai Eksekutif PIDM, Rafiz Azuan Abdullah berkata, kegagalan institusi kewangan baru-baru ini dan pada masa lalu menekankan keperluan perancangan strategik untuk mengharungi ketidakpastian dengan efektif. 

 

"PIDM sebagai pihak berkuasa resolusi berperanan penting dalam menangani kegagalan institusi ahli kami dengan pantas dan memastikan kestabilan sistem kewangan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut Rafiz, ia adalah masa yang tepat untuk membincangkan strategi pengurusan krisis, kerana merangka pelan yang sesuai ketika krisis adalah lebih mencabar. 

 

Katanya, apabila perancangan resolusi dilakukan lebih awal, pihak berkuasa resolusi mempunyai lebih banyak pilihan, termasuk mewujudkan bank pengantara, serta permodalan dan penstrukturan semula.

 

"Dengan menyesuaikan strategi pengurusan krisis melalui perancangan resolusi khusus kepada sesebuah entiti dan keadaannya yang unik, kami meningkatkan keupayaan kami untuk mengambil tindakan muktamad dan meminimumkan risiko penularan kepada ekosistem kewangan yang lebih luas," katanya.

 

PIDM juga telah menerbitkan 25 kajian kes yang menawarkan pandangan yang bernilai daripada pengalaman global dalam pelaksanaan resolusi ke atas bank-bank dan syarikat insurans yang bermasalah. 

 

Kajian ini menjelaskan konteks dan faktor risiko yang menyumbang kepada kegagalan beberapa institusi kewangan serta pengajaran utama, termasuk kes Silicon Valley Bank di Amerika Syarikat baru-baru ini dan institusi lain dari rantau Asia Pasifik dan juga Eropah. Terbitan Kajian Kes Resolusi ini boleh dimuat turun oleh orang awam di laman web PIDM.

 

PIDM sebagai pihak berkuasa resolusi bagi institusi ahlinya bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan untuk membentuk jaringan keselamatan kewangan yang kukuh. 

 

Pada September 2023, PIDM telah mengeluarkan Garis Panduan Perancangan Resolusi bagi Anggota Penerima Deposit, yang menggariskan objektif, pendekatan dan keperluan untuk perancangan resolusi. - DagangNews.com