P.I.E. Industrial diramal catat hasil lebih baik pada 2HFY24 didorong pembukaan semula Kilang 5 | DagangNews Skip to main content

P.I.E. Industrial diramal catat hasil lebih baik pada 2HFY24 didorong pembukaan semula Kilang 5

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Kenanga Research meramalkan P.I.E. Industrial Bhd mencatatkan hasil yang lebih baik pada 2HFY24 disokong pembukaan semula semula Kilang 5 berkeluasan 100,000 kaki persegi pada Jun 2024 selepas menjalani pengubahsuaian. 

 

Katanya, pembukaan itu adalah tepat pada masanya dan ia akan mendorong kepada hasil suku tahun yang lebih baik kerana volum pemuatan oleh Pelanggan A dijangka bergerak ke tahap optimum.

 

"Kerja-kerja pengubah suaian selanjutnya sedang berlaku serentak untuk Kilang 5 bagi meluaskan kapasitinya kepada 170,000 kaki persegi, menjadikan jumlah ruang lantai yang dikhaskan untuk Pelanggan A kepada 250 kaki persegi termasuk Kilang 3 seluas 80,000 kaki persegi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, pada suku kedua berakhir 30 Jun 2024, untung bersih kumpulan itu melonjak 49% kepada RM17.3 juta, atau pendapatan sesaham 4.46 sen berbanding RM11.6 juta, atau 3.02 sen pada suku yang sama tahun lepas.

 

Keuntungan yang lebih tinggi itu disebabkan margin campuran produk yang lebih tinggi, perbelanjaan pentadbiran dan pengedaran yang lebih rendah serta pendapatan yang lebih tinggi daripada pelaburan lain.

 

Hasil kumpulan bagaimanapun, susut 16.1% kepada RM240.2 juta daripada RM286.5 juta tahun lepas.

 

P.I.E. Industrial mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM27 juta pada separuh pertama hingga 30 Jun pada hasil sebanyak RM479.4 juta.

 

Kenanga Research menyukai kumpulan itu kerana kemahiran mereka yang komprehensif, menjadikannya penyedia segmen perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) untuk syarikat multinasional, kelebihan daya saing yang dinikmati sebagai unit Foxconn dan pangkalan pelanggannya yang pelbagai dan berkembang, daripada mereka yang terlibat dalam peranti komunikasi, alatan kuasa dan peralatan DeFi terkini.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu berdepan risiko seperti kehilangan pesanan utama, kontrak tidak diperbaharui oleh pelanggan utama, kekurangan dan peningkatan kos tenaga kerja, ulasan negatif terhadap kebajikan pekerja asing oleh aktivis dan tukaran mata wang asing yang tidak menguntungkan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM6.75 sesaham," katanya. - DagangNews.com