Pilih kenderaan perisai terbaik sebagai pengganti Radpanzer Condor  | DagangNews Skip to main content

Pilih kenderaan perisai terbaik sebagai pengganti Radpanzer Condor 

Tarantula HMAV 4x4 boleh dipasang pelbagai sistem persenjataan moden mengikut kehendak penggunanya.
FOKUS BERITA oleh ZAKI SALLEH

PROGRAM penggantian kenderaan perisai pembawa anggota (APC) Radpanzer Condor 4x4 hampir ternoktah apabila kerajaan telah mengumumkan peruntukan bagi melaksanakan perolehan tersebut.

 

Dua hari selepas Bajet 2023 dibentangkan, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberitahu sebanyak 136 kenderaan jenis A 4x4 akan dibeli menerusi peruntukan itu.

 

Perolehan sebanyak RM2.049 bilion ini juga turut melibatkan pelbagai kenderaan jenis B bagi meningkatkan keupayaan Tentera Darat.

 

Kenderaan jenis A 4x4 ialah merujuk pada kereta berperisai iaitu kenderaan tempur yang mampu bertahan daripada tembakan senjata kaliber tertentu.

 

Radpanzer Condor adalah kenderaan jenis ini yang fungsinya untuk mengangkut dan memberi perlindungan kepada anggota tentera untuk masuk kawasan merbahaya.

 

Sebanyak 460 APC Radpanzer Condor dibeli pada tahun 1981-1984 untuk dioperasikan oleh pasukan Kor Armor Diraja dan batalion infantri mekanis. 

 

Kenderaan perisai yang pernah terlibat dalam misi tentera pengaman di Somalia, Bosnia Herzegovina dan Lebanon kini sekitar 300 buah serta perlu diganti.


 

zaki
Radpanzer Condor APC semasa digunakan tentera pengaman Malaysia di Lebanon.

 


Bagaimana pun, pengumuman Hishamuddin masih menjadi tanda tanya kerana jenis kenderaan yang bakal diperolehi itu tidak disebut lalu menimbulkan spekulasi.

 

Jumlah 136 buah itu juga bukan angka sebenar jika hendak menggantikan Radpanzer Condor melainkan dibuat secara berperingkat-peringkat.

 

Berkemungkinan calonnya adalah kenderaan berperisai mobiliti tinggi empat roda (HMAV 4x4) Tarantula buatan syarikat tempatan, Mildef International Technologies Sdn Bhd (Mildef).


 

(HMAV 4x4) Tarantula

 


Tarantula HMAV 4x4 menggunakan kemahiran anak tempatan ini telah pun menjalani pelbagai ujian penilaian menepati spesifikasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan standard antarabangsa.

 

Tarantula HMAV 4x4 boleh dipasang sistem persenjataan moden seperti Stesen Senjata Kawalan Jauh (RCWS) untuk membolehkannya menembak 360 darjah semasa bertempur.

 

Sebagai sebuah kenderaan tempur, ia boleh melakukan pelbagai peranan mengikut pada sistem persenjataan atau kupola yang dipasang termasuk senjata antikereta kebal.

 

Seperkara lagi, status sebagai kenderaan perisai buatan tempatan bukanlah penentu bahawa Tarantula layak untuk menjadi kenderaan pilihan ATM.

 

Biarpun banyak pihak menyuarakan agar Kementerian Pertahanan menyokong industri tempatan dengan cara menganugerahkan kontrak tetapi ia tidak semudah itu.

 

Faktor terpenting ialah keupayaan produk tersebut mestilah benar-benar sudah teruji secara hakiki agar tidak berlaku sebarang implikasi misalnya masalah teknikal yang tidak dapat diatasi setelah digunakan.

 

Jika benar Tarantula calonnya, kenderaan ini pula dikatakan akan bersaing dengan Pars 4x4 buatan firma FNSS Turkiye yang dirancang dibina secara usahasama dengan DRB HICOM Defence Technologies Sdn. Bhd. (DEFTECH).


 

pars
Reka bentuk Pars 4x4 menunjukkan kenderaan ini mempunyai ciri-ciri amfibia.

 


DEFTECH - FNSS telah memeterai kerjasama untuk reka bentuk, pembangunan, fabrikasi, pembuatan, lokalisasi, pemasangan dan pembekalan kenderaan berperisai keluarga PARS FNSS kepada kerajaan Malaysia.

 

Selain Pars 4x4, turut disenaraikan ialah kenderaan perisai Pars 6x6 bagi program penggantian lebih 300 buah kenderaan perisai Sibmas dan APC Condor.

 

Jika merujuk kepada perancangan ATM sebelum ini, Radpanzer Condor 4x4 hendak digantikan dengan kenderaan perisai jenis 6x6 manakala perolehan perisai 4x4 dalam jumlah tertentu pula adalah untuk tugas tinjauan.

 

Kenderaan perisai 6x6 dipilih kerana platform tersebut boleh membawa lebih banyak beban tempur dan anggota berbanding 4x4.

 

Jadi, keperluan untuk dua jenis kenderaan perisai ini memang ada.

 

Sebagai contoh, Skuadron Armor Briged Para terpaksa menggunakan kenderaan perisai MIFV yang saiznya lebih besar setelah kenderaan Scorpion dan Stormer ditamatkan perkhidmatan.

 

Sepatutnya pasukan atur gerak cepat ini menggunakan kenderaan perisai yang bersaiz kompak tetapi lincah sesuai dengan peranannya yang dihantar ke medan operasi secara lintas udara.

 

Selain itu, satu ciri utama pada kenderaan armor pilihan Tentera Darat ialah calon tersebut mestilah mempunyai keupayaan amfibia iaitu boleh menyeberangi kawasan perairan.


 

adnan
Kenderaan Tempur Infantri Berperisai ACV-300 Adnan

 


Ini penting kerana faktor muka bumi negara yang mempunyai banyak kawasan berair seperti sungai dan tasik sebagai halangan.

 

Ciri-ciri ini terdapat pada kedua-dua kenderaan Pars 4x4 dan Pars 6x6 selain model ini telah pun digunakan secara meluas.

 

Sebab itu peluang DEFTECH untuk memenangi kontrak ini dilihat lebih besar selain kejayaan firma tersebut pada dua progam terdahulu iaitu membina ACV Adnan dan AV8 Gempita.

 

Pembinaan kenderaan AV8 Gempita memberi lonjakan kemahiran pada warga kerja DEFTECH apabila buat pertama kali membina sebuah kenderaan tempur berteknologi tinggi.

 

Pada masa sama, kunjungan Perdana Menteri, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob ke Turkiye pada Julai lalu membuka peluang untuk negara meneroka kerjasama dalam industri pertahanan lebih meluas.


 

Model Condor yang dinaik taraf dengan ciri lebih baik yang dibangunkan DEFTECH untuk ditawarkan pada ATM sebelum ini.
Model Condor yang dinaik taraf dibangunkan oleh DEFTECH untuk ditawarkan kepada ATM sebelum ini.

 


Sehubungan itu, penggantian Radpanzer Condor APC yang merupakan tulang belakang pasukan armor kerana fungsinya sebagai teksi medan tempur perlu dibuat betul-betul.

 

Aspek kenderaan buatan tempatan atau luar negara tidak dianggap kriteria penting tetapi  biarlah pembelian dibuat berbaloi sepertimana Radpanzer Condor APC yang berbakti lebih 40 tahun. - DagangNews.com