Pilihan raya dijangka jejaskan sentimen sektor pembinaan, HLIB kekal pandangan 'neutral' | DagangNews Skip to main content

Pilihan raya dijangka jejaskan sentimen sektor pembinaan, HLIB kekal pandangan 'neutral'

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 22 Dis - Ketidakpastian mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang semakin hampir dijangka menjejaskan sentimen dalam sektor pembinaan negara memandangkan pelabur mengambil pendekatan tunggu dan lihat. 

 

Ini membolehkan Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengulangi pandangan 'neutral' terhadap sektor tersebut. 

 

"Perkembangan mengenai projek kritikal seperti MRT3 amat menggalakkan tetapi kami kekal berhati-hati dengan garis masa dan pelaksanaan keseluruhan pendapatan sektor di tengah-tengah penularan wabak COVID-19," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Firma itu mendapati indeks pembinaan susut berbanding indeks utama FBM KLCI sebanyak 10.4% setakat ini disebabkan beberapa faktor negatif.

 

Antaranya termasuklah pelaksanaan sekatan pergerakan, pembatalan projek kereta api laju (HSR), kemelut politik dan Bajet 2022 yang mengecewakan telah mengheret turun indeks ini.

 

"Malah, perkembangan mengenai MRT3 pada April lalu, tidak banyak membantu memacu kenaikan indeks ini kerana dipengaruhi risiko COVID-19. 

 

"Bagaimanapun, IJM Corp. Bhd. merupakan peneraju utama yang mengatasi prestasi indeks pembinaan sebanyak 14.1% (dividen khas diselaraskan) dipacu penambahan nilai menerusi IJM Plantations Bhd.," jelasnya. 

 

HLIB mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pembinaan akan melantun semula sebanyak 16.6% pada tahun hadapan.

 

Sejajar dengan itu, firma itu menggandakan pendapatan kumulatif bagi sektor pembinaan dipacu produktiviti tapak yang lebih tinggi dan margin lebih baik. 

 

"Unjuran 2022 kami kira-kira 15% lebih rendah daripada sebelum pandemik dengan mengambil kira faktor seperti produktiviti terjejas, masalah tenaga buruh, persekitaran kos yang tidak menentu dan projek tertunggak yang lebih rendah. 

 

"Kami juga melihat skop yang lebih terhad untuk meningkatkan pendapatan kerana faktor berkenaan yang berkemungkinan berterusan pada 2022. 

 

"Sebaliknya, jika Omicron terbukti lebih buruk, satu lagi kitaran penurunan semakan pendapatan mungkin tercetus," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, firma itu memilih saham Sunway Construction Group Bhd. dan Kimlun Corp. Bhd. dengan saranan 'beli' pada harga sasaran masing-masing RM1.75 dan RM1.07. - DagangNews.com