Pine Labs, BSN jalin kerjasama untuk pembayaran digital melalui Pay Later | DagangNews Skip to main content

Pine Labs, BSN jalin kerjasama untuk pembayaran digital melalui Pay Later

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Platform perdagangan terkemuka, Pine Labs mengumumkan kerjasamanya dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk membolehkan pembayaran digital melalui Pay Later dibuat di terminal PoS milik Pine Labs di seluruh Malaysia.

 

Kerjasama itu dijangka mampu memberi kesan positif kepada peniaga runcit dan membantu golongan kelas pertengahan di negara ini bagi memenuhi keperluan membeli-belah mereka. 

 

Program ini tersedia untuk pemegang kad kredit BSN melibatkan lebih 10,000 kedai di Malaysia yang dilengkapi dengan platform perdagangan Pine Labs. 


 
Dengan kadar inflasi yang semakin meningkat di Malaysia dan lebih setengah juta golongan M40 menjadi golongan B40. 

 

Pengguna dalam kalangan kelas pertengahan di Malaysia kini perlu melihat langkah yang lebih menjimatkan untuk membuat pembelian iaitu melalui pilihan untuk membuat pembayaran ansuran sehingga 36 bulan dengan kadar faedah 0%. 

 

Pemegang kad BSN boleh mengelak untuk membuat pembayaran penuh untuk produk yang dibeli di kedai-kedai fizikal menggunakan platform yang dikuasakan Pine Labs dan menukar jumlah pembayaran mereka secara sama rata melalui pilihan ansuran bulanan yang ada. Ahli kad BSN telah mula mendapat manfaat melalui kerjasama ini mulai Julai 2022.

 

Ketua Pembayaran Perniagaan Asia Pasifik Pine Labs, Chayan Hazra berkata, semasa pembelian di kedai, pengguna di Malaysia dilihat lebih banyak menggunakan Pay Later yang mana mereka menukar pembelian biasa mereka kepada pembelian ansuran. 

 

 

pinelabs
Chayan Hazra

 

 

"Proses yang lancar ini membolehkan peruncit di luar talian (offline) mendapatkan jualan, terutamanya barangan yang berharga lebih mahal. 

 

Untuk meluaskan lagi capaian Pay Later, kami sangat berbesar hati dapat menjalin kerjasama dengan BSN. Kami percaya pelanggan bank ini akan menyukai pengalaman pembelian secara ansuran seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ketua Pegawai Perniagaan BSN, Mujibburrahman Abd Rashid pula berkata, melalui kerjasama dengan Pine Labs, pihaknya dapat menawarkan pilihan pembayaran untuk ahli kad BSN dan mengurangkan kerisauan mereka tentang caj kelewatan dan faedah atau caj pengurusan. 

 

"Ahli kad boleh merancang perbelanjaan mereka dengan kadar faedah 0%,” katanya.

 

Kedai serbaneka, pasaraya, pasar mini dan kedai-kedai di dalam pusat membeli-belah terkesan akibat pandemik COVID-19. Sentimen pengguna yang semakin meningkat dijangka dapat membantu pemulihan sektor perniagaan runcit di Malaysia pada tahun ini. - DagangNews.com