Ismail Sabri mempengerusikan Mesyuarat Khas Task Force Pengurusan Pasca Bencana Banjir Monsun Timur Laut 2021/2022 di Putrajaya hari ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN
[email protected]
KUALA LUMPUR 3 Jan - Sebanyak RM33 juta daripada RM93 juta permohonan Pinjaman Mikro Bank Simpanan Nasional (BSN) diluluskan kepada mangsa-mangsa bencana banjir sejak kelmarin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pinjaman yang dilancarkan sejak 27 Disember lalu itu bertujuan meringankan beban mangsa-mangsa banjir membeli peralatan dan kelengkapan rumah yang musnah akibat bencana.
Moratorium selama enam bulan pertama ke atas pembayaran ansuran bulanan dan terbuka kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, sejumlah 60% sumbangan berjumlah RM58 juta berjaya dilaksanakan bagi sumbangan Rangkaian Tindak Balas Bencana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
"Bagi pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) untuk Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) yang diumumkan pada 20 Disember lalu, pelaksanaan telah pun bermula sejak kelmarin melibatkan dana sebanyak RM30 juta," katanya.
Perkara itu dinyatakan oleh Perdana Menteri semasa mempengerusikan Mesyuarat Khas Task Force Pengurusan Pasca Bencana Banjir Monsun Timur Laut 2021/2022, hari ini.
Bersama beliau adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Zuki Ali; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang; Tan Sri Acryl Sani; Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Datuk Ruji Haji Ubi; dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Aminuddin Hassim.
Mesyuarat ini turut dihadiri Menteri-Menteri Besar, Ketua-Ketua Menteri, Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian, Setiausaha-Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Pembangunan Negeri-Negeri serta Ketua-Ketua Jabatan. - DagangNews.com