Pintaras Jaya di kedudukan terbaik untuk terlibat di dalam projek pembinaan Singapura, Malaysia | DagangNews Skip to main content

Pintaras Jaya di kedudukan terbaik untuk terlibat di dalam projek pembinaan Singapura, Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 April - MIDF Research menjangkakan Pintaras Jaya Berhad berada di landasan terbaik untuk mengambil peluang terhadap peningkatan sektor pembinaan Singapura dan pelancaran projek mega di Malaysia pada masa akan datang.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu juga memiliki pegangan tunai yang kukuh sebanyak RM142.17 juta

 

"Kami positif terhadap Pintaras Jaya untuk mengambil peluang dalam sektor pembinaan di Singapura manakala di Malaysia, kumpulan itu bersedia untuk terlibat dengan kerja-kerja cerucuk dan asas untuk projek mega seperti Transit Aliran Massa (MRT) 3 yang akan dilaksanakan oleh kerajaan tidak lama lagi.

 

"Kekuatan Pintaras Jaya terletak kepada pengalaman yang dimiliki, jentera yang besar dan kekuatan kewangan di Malaysia.

 

"Kami juga menyukai mereka kerana pendapatan berulangnya yang stabil daripada perniagaan pembuatan kontena logam dan komitmen kumpulan untuk membayar dividen setiap tahun," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, Pintaras Jaya dilaporkan memiliki tempahan sebanyak RM320 juta selepas mengambil kira projek yang dimenanginya baru-baru ini, dijangkakan tempahan mereka berada antara RM320 juta hingga RM400 juta.

 

Mereka juga menyasarkan tambahan tempahan sebanyak RM400 juta untuk FY22 dan RM500 juta untuk FY23.

 

"Pintaras Jaya terlibat dengan pemasangan cerucuk dan asas pembinaan yang secara umumnya memiliki kontrak sehingga satu tahun setengah atau kurang, bermakna mereka bergantung penuh terhadap projek baharu pada setiap tahun.

 

"Setakat ini, mereka berjaya mencapai sasaran pertambahan projek setiap tahun secara konsisten," katanya.

 

Firma itu memulakan liputan terhadap kumpulan itu dengan saranan 'beli' pada harga sasaran (TP) RM3.14. - DagangNews.com