PKP 2.0 dijangka jejaskan pendapatan 1Q21 Pavilion REIT | DagangNews Skip to main content

PKP 2.0 dijangka jejaskan pendapatan 1Q21 Pavilion REIT

Pavilion REIT

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Prestasi pendapatan Pavilion Amanah Pelaburan Hartanah (Pavilion REIT) pada suku pertama tahun kewangan 2021 dijangka terganggu susulan pelaksanaan PKP 2.0.

 

MIDF Research berkata, pendapatan suku tersebut berkemungkinan diheret oleh penurunan jumlah kehadiran pengunjung serta keterbatasan penyewa untuk beroperasi semasa PKP 2.0.

 

"Kami mengekalkan ramalan pendapatan kami untuk tahun kewangan 2021/2022 walaupun kos penyelenggaraan dijangka lebih rendah.

 

"Kami juga menjangkakan pemulihan pendapatan akan lebih mengukuh pada separuh kedua tahun kewangan 2020 apabila vaksin tersedia secara meluas dan trafik pembeli kembali pulih," jelas MIDF Research.

 

Bagi tahun kewangan 2020, Pavilion REIT meraih pendapatan bersih sebanyak RM116.7 juta, didorong oleh perbelanjaan penyelenggaraan yang lebih rendah daripada jangkaan pada suku keempat 2020.

 

Sementara itu, dalam nota kajian yang dikeluarkan CGS-CIMB Research, Pavilion REIT memaklumkan bahawa bantuan sewa berkemungkinan menjadi lebih banyak pada suku pertama 2021 susulan pelaksanaan PKP 2.0.

 

Bagaimanapun, Pavilion REIT turut membuat jangkaan bahawa kesan kehilangan pendapatan mungkin tidak seteruk tahun kewangan 2020 kerana sebanyak 40% hingga 50% daripada penyewa masih dibenarkan beroperasi, berbanding hanya 12% pada tahun kewangan 2019.

 

"Mengikut prestasi operasi tahun kewangan 2020 dan mengambil kira kesan PKP 2.0 terhadap prospek pemulihan ruang runcit, kami mengurangkan jangkaan perolehan sesaham (ESP) tahun kewangan 2021/2022 sebanyak 7% hingga 20%.

 

"Keputusan itu dinilai kepada pendapatan sewa yang lebih rendah, jumlah purata kehadiran pengunjung yang lebih rendah dan margin pendapatan hartanah bersih (NPI) yang lebih rendah iaitu 57% hingga 60% berbanding 61% hingga 69% pada sebelumnya.

 

"Kami kekalkan saranan 'pegang' saham Pavilion REIT dengan harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM1.41," tambah CGS-CIMB Research. - DagangNews.com